PORT DICKSON – Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menjalankan operasi penginapan sewa atau inap desa tidak sah di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membendung perkara itu.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat di seluruh negara. Bukan sahaja pekerja itu akan dikenakan tindakan tetapi majikan yang melindungi dan menggajikan warga asing pasti akan dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tangkapan 28 warga Bangladesh yang menjadi ejen dan menjalankan operasi penginapan sewa di kawasan penginapan elit di sekitar segi tiga emas Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Terdahulu, Mustafar merasmikan majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP 19 siri 1 2018 di Akademi Tentera Darat (ATD). Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jen Datuk Wira Md Tajri Alwi.
Pada majlis itu, seramai 401 Pegawai Kadet Imigresen menamatkan latihan. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..