Friday, January 24, 2025

Creating liberating content

Enot Jawab Dituduh Pura-Pura...

PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak Enot berasa kesal apabila ada pihak menuduhnya...

Lelaki Gelandangan Tersepit Celah...

HONOLULU - Seorang lelaki gelandangan terpaksa menanggung seksa hampir empat jam apabila tersepit...

Serpihan Dari Mozambique Hampir...

KUALA LUMPUR - Dua serpihan yang ditemukan di Mozambique hampir pasti berasal dari...

Puluhan Seluar Dalam Wanita...

KOTA KINABALU – Beberapa gambar menunjukkan puluhan seluar dalam wanita pelbagai corak dengan...

Timba Ilmu Dari Sektor Tenaga Nuklear Jepun

TOKYO – Banyak yang Malaysia boleh belajar dari Jepun sekiranya mahu mencari sumber tenaga baru untuk meningkatkan pengeluaran kuasa elektrik apabila terdapat keperluan pada masa hadapan.

Kemampuan penjanaan kuasa elektrik Jepun adalah sekitar 250,000 MW dengan sebahagiannya dijana daripada bahan bakar fosil iaitu arang batu, petroleum mentah dan gas asli. Kira-kira 22 peratus lagi datang daripada loji kuasa nuklear dan bakinya daripada sumber hidro/air dan solar/matahari.

Sebagai perbandingan, kemampuan penjanaan kuasa elektrik Malaysia hanya kira-kira 23,000 MW dengan lebih 52 peratus dijana menggunakan arang batu, gas asli (45 peratus) dan hidro (tiga peratus).

Sebagai sebuah negara maju, Jepun memerlukan kuasa elektrik yang banyak antaranya untuk menampung keperluan industrinya serta perkhidmatan kereta api termasuk kereta api laju “Shinkansen”, pencahayaan bandar dan rumah kediaman bagi memenuhi keperluan 127 juta orang penduduk negara matahari terbit itu pada masa kini.

Meskipun kemampuan penjanaan kuasa Malaysia mencukupi buat masa ini, namun apabila jumlah penduduk negara ini meningkat dengan pemodenan semakin rancak di samping rancangan untuk mengadakan khidmat kereta api laju, dan zon-zon pertumbuhan yang muncul bagaikan cendawan selepas hujan, penjanaan elektrik perlu ditambah pada kos yang kompetitif.

Malaysia bertuah kerana mempunyai sumber asli seperti petroleum dan gas asli yang boleh digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Bagaimanapun, petroleum, gas asli dan arang batu import bukan sumber yang boleh dibaharui dan penggunaannya menyumbang gas rumah hijau.

Memandangkan Malaysia telah memberi komitment untuk mematuhi perjanjian persidangan Iklim Paris 2015 (COP21) mengenai perubahan iklim, penggunaan bahan bakar fosil yang meluas sudah tentunya bertentangan dengan pendirian untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Tambahan, Malaysia banyak bergantung kepada bahan bakar fosil untuk penjanaan kuasa elektrik menyebabkan mudah terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar itu atau apabila berlaku gangguan bekalan.

Oleh yang demikian, penting untuk mempelbagaikan sumber tenaga dalam penjanaan kuasa elektrik bagi jaminan bekalan tenaga pada masa hadapan.

Bagaimanapun, apa pilihan yang Malaysia ada? Potensi solar dan angin adalah terhad untuk Malaysia kerana ketidakcukupan kawasan tanah untuk “ladang solar: dan kekurangan tiupan angin sepanjang tahun.

Potensi kuasa elektrik hidro sudah diteroka tetapi kemampuan yang ada agak terhad.

Jadi apakah tenaga nuklear pilihan baru untuk Malaysia menjana kuasa elektrik? Apakah Malaysia sudah bersedia ke arah itu?

STIGMA KUASA NUKLEAR

Secara umumnya bila disebut nuklear, pasti ini akan menimbulkan kebimbangan. Masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia kemalangan di reaktor Loji Janakuasa Nuklear Fukushima Daiichi di Jepun akibat gelombang besar tsunami selepas berlaku gempa bumi bermagnitud 9.1 pada 11 Mac, 2011.

Meskipun berlaku pencemaran radiasi, ianya dapat dikawal dan hanya menjejaskan kawasan yang kecil sahaja tanpa melibatkan sebarang kehilangan nyawa. Dakwaan berlaku radiasi secara meluas ternyata tidak benar. Bagaimanapun, kerajaan Jepun mengambil langkah keselamatan dengan mengarahkan operasi Loji Kuasa Nuklear (NPP) di negara itu dihentikan bagi boleh dilaksanakan kajian semula aspek keselamatan.

Apa pun, kemalangan yang berlaku di Fukushima Daiichi tidaklah seteruk berbanding bencana Chernobyl (Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine) 1986 yang meragut ribuan nyawa dan kesan pencemaran radioaktifnya tersebar meluas sehingga ke barat Eropah.

Sebelum itu, pada 1979, berlaku kebocoran radiasi di loji nuklear Three Mile Island di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang kemudiannya membantutkan pertumbuhan industri kuasa nuklear di Amerika Syarikat.

PELAJARI NUKLEAR DARI JEPUN

Pada akhir Februari lepas, satu perwakilan Malaysia yang diketuai Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) mengadakan lawatan ke loji nuklear Jepun dan melihat sendiri peraturan-peraturan keselamatan baru yang dikenakan oleh Nuclear Regulation Authority of Japan selepas insiden Fukushima Daiichi.

Lawatan itu adalah atas jemputan JAIF International Cooperation Centre (JICC) yang menyediakan kerjasama untuk pembangunan tenaga nuklear dengan sokonga kuat kerajaan Jepun.

Penasihat projek JICC, Kiyonobu Yamashita dan Pengurus Besar Hiroki Takimoto mengiringi perwakilan Malaysia sepanjang lawatan itu yang turut disertai penulis.

Perwakilan Malaysia terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Malaysian Society for Non-Destructive Testing.


Turut serta dalam perwakilan itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah MNPC, Tan Sri Dr Rahamat Bivi Yusoff , Ketua Pegawai Eksekutif Razib Dawood serta ahli lembaga pengarah Prof Dr Awang Iskanderdzulkarnein Pengiran Rayari.

Kumpulan berkenaan dibawa melawat ke teras reaktor Fukushima Daini NPP, terletak kira-kira 20 km dari loji Fukushima Daiichi. Kedua-dua NPP menggunakan “Boiling Water Reactors” (BWRs) dan dimiliki serta dikendalikan oleh Tokyo Electric Power Company (Tepco).

NPP Fukushima Daini NPP, yang kini dihentikan operasinya untuk kajian semuila keselamatan serta lampu hijau daripada pihak berkuasa tempatan turut terkesan akibat tsunami 2011. Pam air untuk menyejukkan reaktor loji juga gagal berfungsi kerana kerosakan generator tetapi tindakan pantas pekerja menyelamatkan NPP itu daripada lebur.

Perwakilan Malaysia juga dibawa melawat Loji Janakuasa Nuklear Tsuruga yang terletak di Wilayah Fukui dan diuruskan oleh Japan’s Atomic Power Company. Lawatan ini untuk melihat cara kerja “pressurized water reactor” (PWR) serta langkah untuk memperbaiki ciri keselamatan.

Dalam lawatan ke Jabatan Operasi Perniagaan Tenaga Nuklear Mitsubishi Heavy Industries Ltd (MHI) di Kobe, perwakilan antaranya menyaksikan pemasangan generator wap, tangan robot untuk memindahkan serpihan bahan bakar nuklear dan skrin gergasi yang bukan sahaja memaparkan data masa nyata operasi tetapi juga proses membuat keputusan ketika berlaku bencana di NPP.

Kesimpulan daripada lawatan berkenaan adalah kerja menguruskan NPP mencabar, memerlukan kecekapan, komitmen serta pasukan pekerja yang terlatih di samping perancangan dan kajian rapi sebelum sebarang projek nuklear dilaksanakan.

NUKLEAR MASIH MENJADI BURUAN

Di sebalik kos tinggi membina NPP serta urusan keselamatan selepas berlakunya kemalangan di Fukushima Daiichi, tenaga nuklear masih ada permintaan.

Turki sudah bersedia untuk melaksanakan Sinop NPP pada 2023, Horizon Nuclear Power merancang membina beberapa NPP baru di United Kingdom, UAE memulakan NPP Barakah yang akan beroperasi sepenuhnya pada 2020 dan China mempunyai 37 reaktor nuklear dengan 20 lagi dalam pembinaan. Korea Selatan juga tidak ketinggalan dalam mengejar tenaga nuklear.

Meskipun tenaga nuklear dikenalpasti sebagai berpotensi untuk penjanaan kuasa di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2010-2015), insiden Fukushima Daiichi menyebabkan tanggapan umum berubah serta rancangan nuklear Malaysia tidak dapat mara ke hadapan.

Bagaimanapun, banyak perkara dipelajari daripada kemalangan nuklear serta aspek keselamatan sudah ditingkatkan dan Jepun dijangka membenarkan beberapa NPP di negara itu beroperasi semula bermula tahun ini.

Bencana di Fukushima memberi hikmah kepada industri nuklear kerana ia menghasilkan beberapa langkah kawalan, malah menghasilkan beberapa jenis reaktor generasi baru iaitu “III+ medium-power pressurized reactors (PWRs) – ATMEA1” oleh MHI dan Areva, Perancis menerusi usahasama.

Kitaran tenaga nuklear termasuk pengurusan sisa nuklear juga menjalani banyak pembaikan.

PENDIRIAN MALAYSIA MENGENAI TENAGA NUKLEAR

Semasa pertemuan makan tengahari dengan wakil Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata anggota perwakilan banyak belajar sepanjang lawatan enam hari ke sektor nuklear Jepun.

Beliau bagaimanapun mengakui di Malaysia, rancangan untuk melaksanakan program kuasa nuklear masih di peringkat awal dan usaha gigih diperlukan untuk mendapatkan keyakinan orang awam serta pihak berkepentingan serta jiran Malaysia.

Banyak lagi perkara yang perlu dikaji termasuk tenaga kerja kompeten bagi program kuasa nuklear, menjalankan kajian terperinci serta pertimbangan lain serta mencari kawasan yang sesuai untuk NPP.

Kerajaan Malaysia belum lagi mengambil keputusan muktamad untuk memulakan program NPP dan telah memanjangkan tempoh untuk pembinaan NPP dari 2021 kepada 2030.

Bagaimanapun, pembinaan NPP di Malaysia mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat memandangkan masa antara 13 hingga 14 tahun diperlukan untuk menyiapkan NPP daripada peringkat konsep hingga penjanaan elektrik bermula.

Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah menyediakan rangka kerja program kuasa nuklear agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan sekiranya program itu diluluskan pada masa hadapan. – BERNAMA

Kategori