UMUM sudah maklum mengenai peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah genap setahun menerajuinya.
Perkara ini sudah dijangka setelah gambaran itu pernah dinyatakan oleh TMJ sendiri selepas beberapa bulan mengetuai FAM.
Walaupun mendapat sokongan daripada Exco FAM, namun baginda tetap dengan pendiriannya untuk meletakan jawatan atas rasa tanggungjawab kejatuhan ranking skuad kebangsaan.
Pun begitu, tinjauan yang dilakukan di laman Facebook Mynewshub berkenaan pengumuman bekas Presiden FAM itu mendapati 64 peratus daripada 6,909 undian ‘gembira’ atau dalam kata lainnya bersetuju dengan keputusan tersebut.
Undian yang dijalankan pada 25 Mac itu turut menunjukkan hanya 36 peratus, yang bersamaan 2,487 pengundi ‘tidak gembira’ dengan berita perletakan jawatan berkenaan.
Perkara ini sekaligus menimbulkan persoalan mengapa majoriti undian seakan bersetuju dengan keputusan drastik yang diputuskan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Adakah dengan cara meninggalkan kerusi nombor satu badan induk bola sepak itu merupakan jalan terbaik demi meningkatkan prestasi bola sepak negara?
Menurut seorang pengguna Facebook, Rill Yusof, keputusan yang dilakukan oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah tindakan yang betul dan ia dilakukan mungkin di atas alasan dan sebab-sebab tertentu.
“Kalau ada yang lebih bagus ambil alih FAM, Alhamdulillah. Undur diri bukan cara pengecut tetapi adalah cara yang dihormati.
“Orang cakap baru kena sikit dah nak letak jawatan, ada masalah ke? Yang bermasalah itu dah kena hentam banyak kali tetapi pekakkan telinga buat tak tahu,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Farhan, turut bersetuju dengan pengumuman itu malah mendakwa pengurusan FAM yang dipenuhi dengan ketidak telusan merupakan salah satu faktor mengapa baginda membuat keputusan sedemikian.
“Welcome back home TMJ, biar TMJ kembali kepada kelab JDT, kalau TMJ duduk dekat FAM ada yang tak kena dan ada yang tak puas hati. Jadi for haters bolehlah amik alih TMJ kat FAM.
“Nak tengok korang jugak tadbir FAM macam mana 😂, aku gembira sebab TMJ kembali ke kelab JDT dan naikkan balik Team JDT,” tulisnya.
Malah Kamal Helmy pula memberitahu dia tidak merasa sebarang masalah dek kerana tindakan TMJ itu adalah perkara betul dan baginda tidak perlu menanggung ‘beban’ terdahulu yang sekian lama melanda FAM.
“Aku tak sedih dan tak gembira pun, bola sepak negara ini dari dulu sampai sekarang sama je, tang tu jugak tak kira siapa presiden pun sama je. Buat apa nak cuci tahi-tahi yang ditinggalkan presiden lama? Tinggalkan dengan penuh hutang, orang dah tolong settle pun dah ok lah kan,” katanya.
Namun apa yang sebenarnya, tindakan peletakan jawatan beliau itu sudah tentu memberikan FAM tamparan besar apabila kehilangan nakhoda yang boleh dikatakan terbaik untuk memacu perjalanan badan induk itu.
Ini adalah berikutan baginda masih mempunyai baki tiga tahun lagi bagi melengkapkan penggalnya. Justeru, adalah perlu untuk beliau meneruskan apa yang sudah dirancang khususnya terhadap fokus untuk menaikkan ranking negara.
Kredibiliti TMJ juga sudah terbukit melalui pengurusan dan kejayaan kelab JDT yang mana sekaligus menunjukkan beliau mampu melaksanakan apa yang dirancang.
Cuba bayangkan perubahan yang boleh kita saksikan jika Tunku Ismail kekal lebih lama sebagai Presiden FAM. – MYNEWSHUB.CC