BONGKAR… Pembangkang memang tidak hirau fakta atau kebenaran dalam melontarkan isu panas, asalkan apa yang ditimbulkan boleh mencetuskan persepsi buruk terhadap pihak kerajaan.
Itu yang didedahkan Datuk Seri Dzulkarnain Taib serta pernah menjadi Editor Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berfungsi menyebarkan cerita fitnah demi hasut rakyat benci Barisan Nasional (BN).
Ujarnya yang kini Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, prinsip sama digunakan oleh Ketua Propaganda Nazi, Joseph Goebbels ketika Perang Dunia Kedua iaitu penipuan secara berterusan akhirnya akan dianggap kebenaran.
“Sebagai contoh, ketika saya menjadi Ketua Pengarang Suara Keadilan, PKR mahu akhbar ini untuk menyiarkan tajuk utama ‘Felda Bankrap’. Tetapi ketika itu saya tidak bersetuju dengan arahan daripada pihak parti tersebut.
“Ini kerana artikel sensasi berkenaan memang jelas langsung tidak ada bukti dan fakta kukuh untuk membenarkan perkara tersebut malahan agak jelas berbaur fitnah jahat,” kata Dzulkarnain yang dipetik oleh portal UMNO Online.
Suara Keadilan merupakan lidah rasmi” PKR sejak awal penubuhannya dan kata Dzulkarnain, parti tetap berkeras mahukan isu Felda konon sudah muflis sebagai tajuk muka hadapan untuk mempengaruhi peneroka skim tanah itu.
“Dan sebaik sahaja keluar berita kontroversi berkenaan, saya dengan serta merta turut dihubungi oleh pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk hadir memberikan penjelasan dengan lebih lanjut berhubung isu tersebut.
“Dalam sehari dua, kami menerima pula surat saman fitnah daripada Felda berhubung artikel itu pada 2010,” ujar Dzulkarnain yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Media Malaysia ketika diwawancara oleh portal berkenaan.
Tuduhan Felda konon sudah bankrap dinyatakan sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan ditulis oleh wartawan Suara Keadilan, Rusnizam Mahat dan turut memetik kenyataan Senator Dr. Syed Husin Ali.
Ironi Wan Azizah, Syed Husin dan Rusnizam kemudiannya dihadapkan ke mahkamah, namun selepas tujuh tahun, ketiga-tiga mereka diperintahkan membayar RM2 juta kepada pihak Felda atas kenyataan fitnah jahat tersebut.
“Ini merupakan salah satu contoh bagaimana dasar parti yang mengamalkan konsep penipuan diulang-ulang bagi mewujudkan persepsi negatif, mengelirukan rakyat sehinggakan pembohongan itu terlihat sebagai satu kebenaran.
“Dan perkara inilah berterusan dilakukan pembangkang hari ini dengan menipu dan memanipulasikan cerita untuk mengelirukan rakyat. Saya jangka ia akan menjadi lebih hebat menjelang PRU 14 tidak lama lagi,” kata Dzulkarnain.
Beliau merujuk strategi ala Nazi digunakan pembangkang untuk kempen pilihan raya umum itu. Katanya, setiap pembohongan ‘ditelan’ penyokong tegar tanpa fikir panjang berikutan pemikiran mereka sudah pun didoktrinkan.
“Kebanyakan penyokong pembangkang memiliki sikap ta’asub kepada pembangkang kerana pemikiran mereka telah didoktrin habis sekian lama untuk menerima bulat-bulat apa saja maklumat yang datang dari pihak pembangkang.
“Sebab itu pembangkang tidak takut dan tidak teragak-agak untuk melontarkan cerita bohong tentang kerajaan kepada rakyat, kerana mereka yakin penyokong mereka akan membela malah membenarkan cerita bohong itu.
“Akhirnya ia tampak seolah-olah satu kebenaran,” jelas Dzulkarnain. Ketika ini pembangkang sibuk putar belit isu 1MDB, Tabung Haji waima Mara konon bermasalah akibat ‘kejahatan’ pihak BN. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA