BERALIH ANGIN…. Meskipun Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah meletak jawatan sebagai Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), baginda tetap komited memajukan sukan popular itu di negara ini!
Bahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) memaklumkan baginda masih lagi kekal sebagai Pengerusi Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang merupakan penganjur perlawanan liga tempatan itu sejak tahun lalu.
Lebih menarik lagi apabila Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim mengumumkan FMLLP dijenamakan semula dengan diberi nama baharu sebagai Malaysia Football League (MFL) selepas ini.
“Bermula hari ini tanggungjawab saya hanya sebagai Pengerusi MFL untuk dapatkan lebih dana, penajaan dan menjaga kepentingan kelab di negara. Untuk skuad kebangsaan, saya ucapkan selamat berjaya kepada FAM.
“Dan juga jawatankuasa tatatertib, pengadil semua itu saya tidak nak ambil tahu. Saya ucapkan terima kasih kepada yang percaya kepada saya. Pihak penaja dan semua sekali pasukan yang bertanding,” titah Tunku Ismail.
Baca: TMJ Sah Lepas Jawatan Presiden FAM
Baginda membuat kejutan itu sejurus memaklumkan peletakan jawatan sebagai Presiden FAM ketika sidang media selepas Majlis Kongres Kedua FMLLP di Forest City Phoenix Hotel di Gelang Patah, Johor Bahru pada Ahad.
“Di sini adalah surat perletakan jawatan saya sebagai presiden FAM. Allah peliharakan Sultan Negeri Johor,” jelas Tunku Ismail sambil menunjukkan surat perletakan jawatan secara rasmi genap kebetulan setahun menerajui FAM.
Perubahan nama tersebut dibuat selepas tiga hari Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) turut menjenamakan liga profesional republik itu yang sudah pun berusia 22 tahun daripada Liga S kepada Liga Perdana Singapura (SPL).
Ia menyaksikan lebih banyak kelab termasuk Brunei mendapat peluang beraksi dalam perlawanan liga di Stadium Negara sebagai sebahagian daripada kerjasama FAS dengan Hab Sukan Singapura. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA