KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah menandatangani dua perjanjian pembelian tenaga solar berskala besar (LSS) dengan dua syarikat tujuan khas (SPC) hari ini untuk membangunkan projek LSS yang berkaitan dengan transmisi.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, SPC terbabit ialah TNB Bukit Selambau Solar Sdn Bhd dan Re Gebeng Sdn Bhd.
Di bawah perjanjian itu, TNB berkata, SPC akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga fotovolta solar dengan kapasiti yang diluluskan di lokasi yang dicadangkan.
“Perjanjian itu meliputi tanggungjawab pihak terlibat untuk menjual dan membeli tenaga yang dihasilkan oleh kemudahan itu untuk tempoh 21 tahun daripada tarikh operasi komersil, mengikut terma dan syarat yang dipersetujui,” katanya.
TNB berkata, keupayaan diluluskan TNB Bukit Selambau Solar adalah pada kos purata wajaran bergerak 30 hari (Mwac) dan operasi komersial cadangan kemudahan yang akan ditempatkan di Kuala Muda, Kedah itu akan bermula pada 31 Disember 2020.
Bagi Re Gebeng, syarikat itu mempunyai kapasiti diluluskan 29,916 Mwac dan operasi komersial kemudahan yang dicadangkan itu, yang akan ditempatkan di Kuantan, Pahang akan bermula 3 Februari 2020, katanya. – BERNAMA