WASHINGTON – Rumah Putih membidas dakwaan dibuat pelakon porno, Stormy Daniels yang mendakwa menjalin hubungan sulit dengan Presiden Donald Trump dan berkata, tiada bukti kukuh boleh menyokong perkara itu.
Dalam reaksi buat pertama kali yang disiarkan pada waktu puncak dan ditonton lebih 21 juta rakyat, Rumah Putih turut mempersoalkan kredibiliti Daniels sambil mencabar beliau memberikan bukti sahih berhubung semua dakwaan itu.
Jurucakap Rumah Putih, Raj Shah berkata, Presiden secara konsisten, jelas dan tegas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hubungan sulit seperti yang didedahkan wanita berkenaan sebelum ini.
Trump selama ini tidak pernah membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai dakwaan berkenaan dan berulang-kali mengenepikan soalan wartawan berhubung isu itu yang telah melanda Rumah Putih sejak beberapa bulan lalu.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat ke-45 itu memuat naik tweet yang seolah-olah merujuk kepada dakwaan dibuat Daniels.
“Terlalu banyak berita palsu. Tidak pernah tepat. Tetapi secara keseluruhan, negara kita masih hebat,” kata Trump menerusi tweet itu.
Dalam satu wawancara bersama CBS malam Ahad lalu, pelakon berusia 39 tahun itu mendedahkan segala butiran mengenai hubungan sulit beliau bersama Trump, termasuk ugutan dan bayaran agar tidak mendedahkan perkara itu kepada umum. – AFP/BH ONLINE