ALAHAI… Entahlah sudah berapa kali pusingan U, Tun Dr. Mahathir Mohamad kali ini menuduh pihak polis yang dorong dirinya sebagai perdana menteri untuk pecat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih kelakar Pengerusi Pakatan Harapan yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu turut menyalahkan Majlis Tertinggi UMNO kerana singkir timbalannya itu atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.
Dalam temu bual eksklusif akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily keluaran Ahad lalu, Mahathir berkata, beliau tiada pilihan selain terpaksa ambil tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua bukti kepadanya.
“Saya amat marah polis. Saya tanya mereka kenapa tidak memberi Anwar peluang perbicaraan? Mereka (polis) tidak beritahu saya mengenai perkara itu pada awalnya tetapi kemudian memberi kesan ‘mata lebam’ kepada Anwar.
“Tetapi saya berkeras supaya Anwar diberi peluang perbicaraan,” katanya. Mahathir menambah konon jika dirinya seorang diktator, beliau boleh terus ‘menyumbatkan’ Anwar ke penjara daripada memberi peluang perbicaraan.
Kenyataan terbaharu bekas negarawan itu ternyata berbeza ketika pertemuan dengan semua koresponden media asing di ibu negara pada 1999 selain catatan peribadi menerusi buku memoir dirinya, Doktor Umum pada 2013 lalu.
Umum maklum Mahathir yang bakal berusia 93 tahun itu mendakwa tidak sanggup menyerahkan kuasa kepada seseorang tidak bermoral dan menjadi pengamal liwat di sebalik persepsi Anwar terkenal dengan imej warak.
Pada November lalu, beliau turut menuduh polis yang menjadi penyebab peristiwa Ops Lalang 1988 menyaksikan 106 orang terdiri aktivis awam, pemimpin agama, peguam dan pemimpin politik ditahan tanpa ada perbicaraan.
Pada waktu itu, Mahathir menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan turut bertindak keras menutup tiga akhbar harian sekali gus menjadikan tahap kebebasan media massa di Malaysia setanding Korea Utara.
“Dari sudut pandang politik, saya tidak akan melakukannya. Sewaktu saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun, saya berjanji kepada diri saya yang tidak akan melakukan apa-apa sahaja yang menyakitkan hati orang lain.
“Namun saya tiada pilihan,” dalih Mahathir menerusi wawancara dengan akhbar popular dalam kalangan pembaca berketuruan Cina itu. Beliau ketika berkuasa dikutuk pembangkang sebagai diktator maha zalim maha Firaun.
Mengulas lanjut Mahathir kemudian mendakwa konon beliau hanya berkuasa dari sudut pentadbiran birokrasi eksekutif untuk memecat Anwar dalam jemaah Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Sebaliknya beliau berdalih bahawa Majlis Tertinggi UMNO yang membuat keputusan kolektif untuk memecat Anwar sebagai Timbalan Presiden parti itu meskipun Mahathir pada waktu itu memang ada kuasa sebagai Presiden UMNO.
“Kami mempunyai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada pukul 4 pagi. Setiap orang diberi peluang bercakap dan mereka bukan sahaja tidak mahu Anwar dalam pentadbiran rasmi kerajaan sebaliknya turut melibatkan parti.
“Itu bukan keputusan saya,” kata Mahathir. Anwar selepas dipecat secara zalim kemudian melancarkan gerakan massa Reformasi dengan mempopularkan akronim UMNO itu sendiri sebagai Undur Mahathir Negara Okay!
Beliau turut membentuk Parti Keadilan Nasional yang kemudian dijenamakan semula sebagai Parti Keadilan Rakyat dan membentuk sekutu blok politik dengan parti pembangkang lain. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA