Thursday, November 28, 2024

Creating liberating content

Presiden FAM, Pemuda PAS...

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad...

Video Serangan Seksual Cetus...

RABAT - Satu rakaman video seorang wanita muda diserang secara seksual oleh sekumpulan...

Sempena Hari Datuk &...

KUALA LUMPUR - Elvina Fernandez, 29, masih menyimpan kenangan indah semasa hidup bersama...

Terkentut Semasa Dibedah, Wanita...

SEORANG wanita dari Jepun melecur teruk selepas kentutnya dikesan menjadi penyebab kepada insiden...

Umur Lebih 20 Tahun Perlu Jalani Saringan Kesihatan

ALOR SETAR – Individu berumur seawal 20 tahun dan ke atas kini perlu menjalani pemeriksaan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Namun jika terdapat sejarah keluarga bagi penyakit kronik atau mempunyai fakta risiko kesihatan seperti berat badan berlebihan mereka disarankan berbuat demikian sekerap enam bulan sekali.

Timbalan Presiden Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia Dr Sri Wahyu Taher berkata tindakan itu sebagai langkah untuk membuat pengesanan awal penyakit berisiko tinggi seperti diabetes serta tekanan darah tinggi.

Beliau, yang juga Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Kuala dekat sini, berkata ini kerana penyakit itu kini turut dikesan melibatkan populasi muda setelah didapati ada yang menghidap diabetes sewaktu menjalani saringan kesihatan.

“Berdasarkan statistik tahun lepas individu yang datang ke klinik ini sahaja untuk rawatan sebagai pesakit luar telah menunjukkan antara 15-20 peratus populasi berumur lebih 20 tahun berisiko tinggi terkena diabetes.

“Keputusan ujian paras gula mereka tidak normal sama ada sedikit tinggi daripada paras normal (dikategorikan sebagai pra diabetes) ataupun terlampau tinggi (klinikal diabetes).

PARAS GULA NORMAL 5.6 MMOL/L

“Kebanyakan mereka datang ke klinik atas sebab sakit seperti demam ataupun sakit perut dan bukannya datang untuk melakukan pemeriksaan saringan kesihatan. Namun, di klinik ini kita melaksanakan Program Kesejahteraan dan Lestari Kesihatan sejak 2013 lagi.

“Jadi, sesiapa yang datang ke klinik ini sebagai pesakit luar sekali pun, doktor akan tetap meminta mereka menjalani saringan kesihatan yang asas seperti ujian paras gula dalam darah, tekanan darah serta menimbang berat badan,” katanya yang juga ketua klinik kesihatan itu ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Pada 11 Feb lepas, tanpa menyatakan statistik, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dipetik dalam Bernama berkata pada masa ini trend peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini seperti diabetes, serangan jantung, darah tinggi, strok serta kanser turut melibatkan golongan muda.

Dr Sri Wahyu, yang juga Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Daerah Kota Setar, berkata bacaan gula dalam darah yang normal adalah 5.6 mmol/l atau kurang untuk individu yang berpuasa manakala bagi individu yang membuat ujian gula itu selepas dua jam makan pula tidak boleh melebihi 7.8 mmol/l.

“Jika keputusan ujian darah seseorang itu melebihi 7.8 mmol/l kemungkinan dia menghidap diabetes. Individu itu akan diminta oleh doktor untuk melakukan ujian seterusnya bagi pengesahan,” katanya.

DIABETES IBARAT ‘IBU’ KEPADA SEGALA PENYAKIT KRONIK

Beliau berkata bagi individu yang bacaan paras gula 5.6 mmol/l atau lebih mereka adalah dikategorikan sebagai individu berisiko tinggi mendapat penyakit diabetes bagi tempoh jangka panjang dan keadaan itu memerlukan mereka melakukan ujian paras gula dengan kerap bagi memastikan paras gula mereka terkawal.

Dr Sri Wahyu berkata penyakit diabetes tidak boleh dipandang remeh kerana ia diibaratkan sebagai ‘ibu’ kepada segala penyakit kronik iaitu boleh menyebabkan buta, kegagalan buah pinggang, serangan jantung serta strok sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal sebaik mungkin.

“Sangat penting untuk kita mencegah daripada awal untuk elak menjadi lebih teruk pada masa hadapan. Jika kita membuat saringan awal, kita akan tahu tahap kesihatan kita. Sekiranya kita dapat mengetahui awal paras gula tinggi, kita sudah boleh mengawal makanan ataupun mengambil ubat-ubatan sepatutnya atas pemantauan doktor,” katanya.

Beliau berkata pesakit diabetes paling muda mendapatkan rawatan di klinik kesihatan itu merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun yang memiliki berat badan seberat 120 kilogram dan terpaksa diberikan suntikan insulin kerana bacaan paras gula terlalu tinggi akibat amalan pemakanan tidak sihat sejak kecil iaitu gemar mengamalkan makanan ringan.

“Namun ia kes terpencil. Walaupun peratus kes-kes sebegini tidak tinggi tetapi trend peningkatan telah mula dilihat berlaku dan jika fenomena ini tidak dibendung maka individu-individu ini akan meningkatkan risiko penyakit kronik serta komplikasi jangka masa panjang pada usia muda.


PROGRAM INTERVENSI DIABETES

“Trend penyakit kronik dalam kalangan usia muda dilihat adalah sejajar dengan peningkatan peratus remaja dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya.

Dr Sri Wahyu berkata sehubungan itu pengurusan klinik kesihatan itu telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Intervensi Diabetes dan Program Intervensi Pra Diabetes di bawah Program Kesejahteraan dan Lestari Kesihatan itu atas saranan kerajaan.

Katanya individu yang disahkan menghidap penyakit diabetes dalam ujian saringan kesihatan mereka di klinik kesihatan itu akan diminta menyertai Program Intervensi Diabetes manakala Program Intervensi Pra Diabetes untuk individu berisiko tinggi iaitu bacaan paras gula mereka hampir melepasi paras normal.

​​​​“Kedua-dua program ini akan dijalankan selama tiga bulan. Mereka perlu datang pada hujung minggu sama ada Jumaat ataupun Sabtu yang akan berlangsung sekitar 8.00 pagi hingga 12 tengah hari. Mereka boleh pilih mengikut kesesuaian waktu terluang mereka,” katanya.

Beliau berkata menerusi kedua-dua program itu individu terbabit akan didedahkan tentang gaya hidup sihat sama ada daripada segi pengambilan makanan sihat serta amalan fizikal yang aktif seperti senaman untuk memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.

GALAK GAYA HIDUP SIHAT

Dalam pada itu, katanya klinik kesihatan itu turut melaksanakan program ceramah kesihatan, aktiviti senaman, pengurusan stres serta pendidikan diabetes sebagai usaha memastikan masyarakat mengambil berat kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Dr Sri Wahyu berkata program berkenaan dijalankan seminggu sekali namun tidak berlangsung secara serentak kerana ia bergantung kepada kesesuaian keadaan dan masa pakar mahupun tenaga pengajar atau anggota kesihatan terlatih untuk berbuat demikian.

Sementara itu, bekas peserta Program Intervensi Diabetes yang menyertai program berkenaan pada 2016, Suriya Che Noor, 50, berkata program itu sangat bermanfaat kepadanya kerana dia memperoleh banyak maklumat tentang cara mengamalkan gaya hidup sihat yang berkesan.

“Melalui program ini saya boleh mengawal cara pemakanan saya untuk memastikan paras gula saya terkawal. Kalau sebelum ini, saya makan ikut sesedap rasa sahaja. Mula-mula memang ada cabaran sebab nak tukar cara makan inikan, tetapi lama-kelamaan semua ok,” katanya.

Surirumah itu berkata kini dia juga mengambil ubat dengan pemantauan doktor untuk rawatan penyakit diabetes dihidapinya itu dan akan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan itu tiga bulan sekali untuk memastikan tahap kesihatannya dalam keadaan baik.

Bagi bekas peserta Program Intervensi Pra Diabetes Mohamad Tajuddin Mat Isa, 47, pula berkata penganjuran program sedemikan sangat berkesan dalam memastikannya mengamalkan pengambilan makanan secara sihat serta melakukan aktiviti fizikal yang aktif.

Pegawai Koperasi Pekan Rabu itu berkata dalam tempoh tiga bulan menyertai program itu pada tahun lepas dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram iaitu daripada 95 kilogram kepada 89 kilogram dan kini paras gula serta tekanan darahnya masih dalam keadaan terkawal.

“Program ini sangat excellent. Sehingga kini saya masih praktik apa yang disarankan dalam program tersebut supaya menjalani amalan gaya hidup sihat. Sekarang setiap pagi saya berjogging selama setengah jam sebelum masuk kerja. Ada juga saya sertai aktiviti berzumba pada waktu pagi bila hari cuti kerja setiap Jumaat dan Sabtu,” katanya. – BERNAMA

Kategori