KUALA LUMPUR – Pasukhas Products Sdn Bhd, anak syarikat Pasukhas Group Bhd (PGB), akan mengambil alih 1,650 saham, mewakili 60 peratus ekuiti dalam syarikat perniagaan arang batu di Indonesia, PT Berkah Bumi Leluhur (PT BBL), pada harga 3.3 billion rupiah (RM1 = 3,499 rupiah)
Dalam kenyataan hari ini, PGB berkata, perjanjian jual beli bersyarat sudah ditandatangani dengan lima individu – Akhmad Syaifullah, Kutut Jalu Prasojo, Joko Purnomo, Agus Triono and Masrani – untuk saham berkenaan.
“Apabila pembelian itu disempurnakan, baki 40 peratus saham PT BBL akan dimiliki oleh penjual dan sekutu mereka,” kata PGB.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Wan Thean Hoe, berkata pembelian itu akan memberikan peluang kepada syarikat tersebut untuk mengembangkan perniagaan arang batunya, yang membentuk sinergi kepada perniagaan konsesinya.
“Kami optimis pengambilalihan itu akan menyumbang kepada perolehan yang mampan,” katanya. – BERNAMA