JAKARTA – Universiti Islam di Indonesia berdepan kritikan selepas melarang pelajar wanita memakai burqa kerana kebimbangan penyebaran ideologi radikal di kampusnya.
Universiti Islam Negeri (UIN) di Jogjakarta berkata, 41 pelajarnya yang memakai burqa akan diberi kaunseling dan diminta berhenti menggunakannya jika mahu menerima ijazah.
Kumpulan konservatif Barisan Pembela Islam berkata dalam satu kenyataan, polisi itu tidak masuk akal dan bertentangan dengan usaha Indonesia memelihara kepelbagaian.
Aktivis hak asasi wanita Lathiefah Widuri Retyaningtyas juga menyelar keputusan itu sebagai sekatan terhadap hak wanita berpakaian apa yang dikehendaki.
Rektor universiti Yudian Wahyudi bagaimanapun menegaskan unsur radikal seperti ditunjukkan burqa menjejaskan pembelajaran.
“Pelajar wanita memakai burqa, dan kumpulan radikal, mereka mengganggu proses pembelajaran. Kami mengetengahkan Islam sederhana,” katanya. – Reuters/myMetro Online