KUALA LUMPUR – Cadangan Parti Amanah Negara (PAN) untuk menubuhkan Universiti Sultan Ibrahim disifatkan sebagai cadangan yang populis dan tidak berdasarkan kajian yang mendalam serta tidak mengambil tahu keadaan sektor pendidikan tinggi di negeri Johor.
Datuk Ayub Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan dalam satu kenyataanya hari ini menyifatkan cadangan parti komponen Pakatan Harapan itu sebagai satu helah politik menarik sokongan dan pada masa sama mempergunakan nama Sultan Ibrahim.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan mengatakan cadangan PAN itu mempergunakan nama DYMM Sultan Johor untuk kepentingan politik kelompok mereka, sedangkan Baginda telah memberi amaran keras agar nama Tuanku tidak dipergunakan untuk kepentingan politik.
“Ini ialah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan dilihat berniat tidak ikhlas serta mahu mengelirukan masyarakat dengan menheret nama baik Istana,” katanya.
PAN Negeri Johor baru-baru ini membuat kenyataan melahirkan rasa kesal terhadap pendirian Ayub menolak cadangan PAN untuk menubuhkan Universiti Sultan Ibrahim di Johor.
Beliau menegaskan, cadangan PAN ini tidak melihat dengan teliti keperluan di negeri Johor.
Menurut Ayub, “Perkara ini menunjukkan ketidakfahaman mereka dalam trend dan fokus semasa institusi pengajian tinggi di seluruh dunia,” yang kini menumpukan pada bidang spesifik masing-masing dan bukan “menjadi institusi yang menjadi penawar dan penyelesai kepada segala jenis masalah masyarakat di bawah satu bumbung.”
Katanya lagi, “Jika PAN benar-benar membuat kajian, mereka juga akan mendapati bahawa trend semasa adalah memperbanyakkan peluang dan latihan kemahiran yang selari dengan tuntutan dan tawaran abad ke-21.”
Jelasnya, memetik laporan Future of Jobs dalam World Economic Forum, perkembangan dunia pekerjaan terkini menunjukkan teknologi terkini memberi kesan hingga 67 peratus pekerjaan masa kini terjejas, manakala 34 peratus lagi semakin terjejas menjelang 2020.
Tegas Ayub, respons sewajarnya ialah “memperkenalkan modul latihan yang selari dengan kemaraan ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian 4.0.”
Kerajaan negeri Johor, katanya, telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani perkembangan ini, termasuk dengan menubuhkan Unit Swadaya Insan yang mengkaji keperluan tenaga kerja di Johor dan mencadangkan tindakan yang sesuai.
Kerajaan negeri Johor, jelas Ayub telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pendidikan tinggi, meliputi tabung pendidikan tanpa faedah untuk anak Johor, meningkatkan kedudukan negeri Johor sebagai hab pendidikan tinggi seperti di Muar dan EduCity di Iskandar Puteri, yang menjadi lokasi cawangan universiti antarabangsa terkemuka termasuk University of Reading dan Southampton University.
Menurut Ayub, cadangan oleh PAN itu menunjukkan parti itu tidak mengetahui perkembangan semasa negeri Johor.
“Jadi, tidak hairanlah terpacul satu cadangan yang bukan sahaja bersifat populis, (malah) tidak praktikal, tidak teliti dan tidak ikhlas,” ujarnya. – Mynewshub.cc/H