KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar isu-isu politik tidak dibawa ke dalam masjid dan surau sehingga memecahbelahkan perpaduan rakyat terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang semakin hampir.
Baginda bertitah PRU hanya lima tahun sekali tetapi keterujaan ahli-ahli politik untuk meraih sokongan rakyat sehingga mereka lupa perkara pokok selain mencemar institusi masjid.
“Saya juga menyeru rakyat supaya jangan terpengaruh atau dikuasai semangat berpolitik dan mengetepikan hubungan dalam beragama,” titah Tuanku Syed Sirajuddin sewaktu merasmikan tilawah al-Quran 1439H peringkat negeri di Dewan Warisan di sini, malam ini.
Baginda turut menyeru rakyat menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai amalan harian kerana ia dapat membentuk sahsiah diri dan keluarga yang sihat di samping untuk mencari keberkatan dalam hidup.
“Membaca al-Quran bukan sahaja ibadah malah menjadi penawar dan panduan tatacara hidup mengikut lunas-lunas Islam termasuk akidah dan bermasyarakat,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menarik perhatian mengenai perkembangan media sosial yang menyebabkan maklumat yang belum tentu kebenarannya tersebar dengan pantas dan meluas.
Baginda bertitah penularan berita palsu melalui pelbagai platform media sosial menjadi penyakit buruk yang mengundang pelbagai implikasi terhadap rakyat dan negara.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut hadir. – BERNAMA