INI makan dia… Seorang penunggang motosikal terima padah apabila tindakannya yang sengaja mencetuskan kemalangan kecil membawa kepada kemalangan yang lebih serius ekoran cuban melarikan diri dari mangsanya.
Insiden dramatik itu dirakam dashcam kenderaan mangsa pada jam 7.52 pagi, Khamis lalu di Guangzhou, China, sebelum ia menjadi tular menerusi laman sosial Weibo.
Menerusi video, mangsa yang dalam perjalanan ke destinasi memandu seperti biasa dan secara tiba-tiba penunggang motosikal di depan kenderaannya berhenti secara mengejut dan berpura-pura melihat ke belakang, dipercayai sengaja berbuat demikian untuk menganiaya mangsa.
Lelaki terbabit terus memecut motosikalnya meninggalkan mangsa yang kemudian mengambil keputusan untuk mengejar lelaki yang tidak bertanggungjawab itu meskipun terpaksa mencelah secara berbahaya.
Setelah berjaya mengejar penunggang terbabit, mangsa terus merempuh lelaki itu yang kemudiannya kelihatan hampir hilang kawalan dan sekali lagi dia terus melarikan diri.
Dalam cubaan kedua, mangsa tidak berjaya merempuh lelaki itu berikutan ada beberapa penunggang basikal berhampiran dan peluang itu digunakan sebaiknya oleh lelaki terbabit melarikan diri.
Dalam cubaan ketiga, mangsa berjaya menghampirinya dan lalu merempuh lelaki itu tanpa teragak-agak dan akibatnya lelaki terbabit hilang kawalan lalu merempuh tebing jalan sebelum separuh badannya terhentak pada belakang kereta yang diletakkan di bahu jalan.
Mangsa bagaimanapun masih hidup dan dipercayai mengalami kecederaan akibat rempuhan itu.
Tidak diketahui apakah nasib kedua-dua individu berkenaan. Namun netizen dinasihatkan tidak mencontohi perangai kedua-dua individu ini yang ternyata boleh mendatangkan kesusahan pada diri sendiri dan ahli masyarakat yang lain. – MYNEWSHUB.CC