BARU-BARU ini media Indonesia hangat memperkatakan tentang berita penemuan sekumpulan cacing halus yang sudah mati di dalam tin sardin.
Kejadian menggemparkan itu malah dikongsikan beberapa netizen tempatan yang merasa pelik bagaimana produk yang telah sedia disterilkan itu boleh dicemari dengan parasit berkenaan.
Susulan itu Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia telah mengarahkan tiga pengimport ikan sardin dalam tin yang terlibat dalam insiden berkenaan, menarik balik produk mereka dari pasaran.
Arahan dikeluarkan setelah pemeriksaan menunjukkan sememangnya ada cacing mati di dalam produk ikan sardin dalam tin yang diimport dari China itu.
“Hasil pemeriksaan dan ujian BPOM menemui cacing yang sudah mati pada produk ikan makerel dengan sos tomato dalam tin 425 gram,” kata BPOM dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis.
Berdasarkan ujian, terdapat tiga jenama sardin yang dipercayai mengandungi cacing mati dan ditarik dari pasaran.
Menurut laporan Kompas, produk mengandungi cacing tidak layak menemui pengguna dan dalam keadaan tertentu pengambilannya boleh menyebabkan reaksi alahan bagi orang sensitif.
Pihak BPOM berkata mereka akan terus memantau pelaksanaan menarik dan memusnahkan produk berkenaan dari pasaran selain meningkatkan ujian terhadap produk ikan dalam tin lain, tidak kira dalam mahupun luar negara.
Masyarakat di negara itu juga dinasihatkan supaya lebih cermat dan berhati-hati apabila membeli produk-produk seperti itu.
Sebelum ditarik balik, produk-produk berkenaan telah berdaftar secara sah dengan BPOM dan sebelum ini didapati mengikut standard yang ditetapkan. – MYNEWSHUB.CC