KUS semangat… rakaman video memaparkan detik cemas seorang wanita dan bayinya yang hampir digilis sebuah kenderaan menjadi tular menerusi laman media sosial baru-baru ini.
Insiden yang berlaku pada jam 5.42 petang Selasa di Jalan Kulim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dirakam seorang pemandu lain sebelum ia dikongsikan menerusi akaun Facebooknya.
Menurut saksi kejadian, mangsa yang sedangĀ menunggang motosikal bersama bayinya sedang berada di bahagian kiri jalan sebelum tiba-tiba digesel sebuah kereta Proton Wira dari arah sama.
Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh sehingga terseret, malah topi keledar yang dipakai turut tercabut.
Mujur saksi sempat mengelak daripada melanggar mangsa dan dia kemudian berhenti di tempat kejadian.
Pemandu Proton Wira itu pula pada mulanya dilihat berhenti di bahu jalan, namun sumber mendakwa pemandu kereta bernombor plat WKF 5472 itu kemudiannya menghilangkan diri tidak lama selepas itu.
Kedua-dua mangsa kemudian dibantu oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital berhampiran dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu netizen di media sosial mengingatkan agar para penunggang motosikal sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengikat kemas topi keledarĀ bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Pemandu kereta juga usah memandu terlalu rapat dengan motosikal kerana sebarang pergeselan yang berlaku boleh menyebabkan penunggang terbabas dan hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan. – MYNEWSHUB.CC