ALAHAI… Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini ibarat melukut di tepi gantang sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Pakatan Harapan.
Nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jentera propaganda reformasinya bagi menentang pihak kerajaan sejak 20 tahun lalu malah kian sepi di bibir pemimpin Pakatan Harapan khususnya DAP.
Pemimpin PPBM, Wan Saiful Wan Jan malah tanpa berdolak dalih dan secara terbuka mendakwa kononnnya hanya PPBM yang boleh menawarkan barisan kepimpinan yang diterima oleh semua rakyat Malaysia.
Mengulas perkembangan tersebut, ahli akademik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan pengisytiharan Wan Saiful yang juga bekas ahli seumur hidup PAS, sebagai satu tamparan kepada PKR.
“Wan Saiful mendakwa PPBM adalah konon satu-satunya parti yang boleh mendabik dada sebagai parti anak muda negara dan dengan itu PPBM yang paling berpotensi untuk mencorak masa depan negara.
“Takkanlah PKR tidak boleh menawarkan barisan kepimpinan yang boleh diterima oleh semua dan takkanlah PKR bukanlah parti anak muda negara,” sindir Kamarul Zaman dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dakwaan Wan Saiful kononnya hanya PPBM yang boleh menjangkau, membentuk dan memimpin pemikiran orang Melayu pula turut memberi tamparan kepada Parti Amanah Negara (PAN).
Justeru, katanya, PAN yang sebelum ini melaungkan parti itu yang akan memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu untuk Pakatan Harapan sudah boleh mula menimbangkan dengan serius untuk tutup kedai, bubar parti dan menyertai PPBM. – Mynewshub.cc