KUALA KANGSAR – Seorang wanita antara 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di tapak pembinaan di sini, awal pagi tadi.
‘Op Mega 2.0 ‘ yang dijalankan hampir tiga jam bermula 12 tengah malam itu, melibatkan 32 pegawai dan anggota penguat kuasa Imigresen.
Pengarah Imigresen Perak Kamaluddin Ismail berkata dalam serbuan pertama, seramai 44 pekerja asing diperiksa dan 12 daripadanya termasuk seorang wanita ditahan.
“Dalam serbuan pertama, kami menahan seorang wanita serta enam lelaki warga Indonesia, seorang lelaki Bangladesh dan empat lelaki Myanmar,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini, hari ini.
Katanya, pada serbuan kedua pula pihaknya memeriksa 30 orang dan 25 daripadanya yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki warga Indonesia serta 16 lelaki warga Bangladesh.
Kamaluddin berkata kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 30-an hingga 60-an itu dipercayai melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963/39 iaitu menyalah guna pas dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, kesemua PATI yang ditahan akan dibawa ke pejabat Imigresen Ipoh untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Kamaluddin berkata dalam tempoh Januari hingga Mac ini, Jabatan Imigresen Perak telah melaksanakan 157 operasi.
“Menerusi operasi itu kami membuat 475 tangkapan, 124 pendakwaan dan 107 sabitan,” katanya. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…