Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Terus Bekerja, Segala Kekalutan...

BESUT - Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berharap semua pihak dapat...

SPRM Ambil Keterangan Najib...

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu mengambil keterangan daripada...

23 Pelajar MRSM Gerik...

IPOH - Sebanyak 23 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik mengalami keracunan...

‘Gol Hantu’ Messi Kekalkan...

  JORDY Alba menjaringkan gol penyamaan yang cemerlang menentang Valencia sekaligus menyelamatkan keputusan seri...

Warga Afghanistan Mula Ketagih Minum Kopi

AROMA… Penduduk Afghanistan memerlukan kafein untuk memulakan aktiviti harian mereka dengan sanggup beratur panjang di ‘warung’ kopi Najibullah Sharyari di ibu kota Kabul.

Ramai warganya kini mula dilaporkan cuba beralih daripada obsesi wajib mereka terhadap minuman teh selama berabad-abad lamanya kepada air kopi atau lazimnya disebut qohwah dalam bahasa Arab.

Berada di laluan sibuk dengan vendor lainnya, barista berusia 30 tahun itu menyajikan kopi segera dari kenderaan bergeraknya yang memiliki gaya ala New York dengan harga serendah AS$0.28 (kira-kira RM1) secawan.

Kopi adalah ‘ubat terbaik’ untuk atasi persekitaran sibuk, sesak, padat, tercemar dan masih terjejas oleh peperangan, kata Sharyari, sambil menuang minuman Nescafe ke dalam cawan Starbucks tiruan kepada seorang pelanggannya.

Kadang-kadang ada pelanggan mahukan teh, tetapi dia menjelaskan: “Kami memberitahu mereka boleh menikmati teh di rumah. Ada perbezaan besar antara secawan teh dan secawan kopi, namun kopi adalah yang terbaik.”

Kedai kopi Sharyari, salah satu yang beroperasi di sekitar ibu negara Afghanistan, adalah pemandangan ganjil bagi sebuah bandar yang kebanyakan penduduknya lebih menyukai teh atau juga disebut syai dalam bahasa Arab.

Manakala imej kedai-kedai kafe terletak di kawasan diplomatik atau kejiranan komuniti mewah sering dikawal oleh pengawal bersenjata dan tersembunyi dari pandangan umum, di sebalik dinding dan pintu besi.

Afghanistan sebenarnya mula diperkenalkan dengan teh kerana lokasinya secara kebetulan berada di Laluan Sutera purba dan kini kekal sebagai salah satu pengguna produk teh terbesar di dunia berdasarkan data per kapita.

Minuman tersebut begitu penting buat budaya negara itu, di mana jika mereka menerima pelawat di rumah mahupun di pejabat, tetamu akan diberikan secawan teh hijau, dicampur dengan aroma buah pelaga dan gula.

Minuman tersebut adalah kemestian di ruangan meja tanpa kira masa sama ada hidangan sarapan, makan tengah hari atau malam. Tetapi kopi juga ada auranya tersendiri bagi mereka yang lazim meminumnya secara rutin.

“Apabila saya pergi ke universiti, saya akan melalui jalan ini hanya untuk mendapatkan secawan kopi sambil berjalan,” kata pelajar universiti Sayed Millad Hashimi kepada agensi berita antarabangsa AFP.

Sharyari telah melancarkan perniagaannya empat tahun yang lalu di bandar utara Mazar-i-Sharif, dengan melabur sebanyak 50,000 afghanis (kira-kira RM2,834) untuk beberapa kart kopi dari negara jiran, Uzbekistan.


Hasil daripada kejayaannya itu, perusahaannya semakin berkembang hingga ke Kabul, dengan dia kini mampu mempunyai lapan kenderaan kart kecil dan telah menghidangi kopi kepada seramai 1,500 pelanggan setiap hari.

Wap dari kartnya itu jelas kelihatan dan aroma kopi menyelubungi kawasan berkenaan sehingga telah menarik ramai pelanggan yang mendambakan kafein, kata seorang pekerja kerajaan yang dikenali sebagai Mujiburrahman.

“Saya juga berasa gembira apabila melihat lebih ramai masyarakat kita yang kreatif dan mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu,” kata salah seorang pelanggan muda tanpa mendedahkan identiti memberitahu wartawan AFP.

Jual kopi di jalan-jalan Kabul – salah satu tempat tidak selamat bagi orang awam di negara ini, malah banyak bekas letupan dan runtuhan masih berada di jalanan – sebenarnya mempunyai prospek yang berbeza daripada Mazar.

Sharyari malah bersetuju mengatakan Mazar sebagai sebuah kawasan aman dan hidup namun di ibu negara itu, masih terdapat gerai atau kart kecil di kawasan jalanan, yang mudah diakses penduduk, berbanding kafe mewah.

Lokasi premis eksklusif sedemikian memang tersembunyi di sebalik akses keselamatan ketat. Ia diakui Rahim, 45 tahun, seorang pemandu teksi, yang telah berkunjung ke vendor kopi tersebut sambil meninggalkan keretanya.

“Tiada tempat parkir di pusat bandar yang penuh sesak ini, kami tidak dapat letak kereta untuk ke kedai kopi atau restoran tetapi di sini mudah, hanya berhenti seketika, boleh dapat secawan kopi dan sambung pergi,” tambahnya.

Aspek keselamatan masih menjadi kebimbangan. Pada 27 Januari lalu, letupan bom paling dahsyat melanda Kabul sejak tahun 2001, dengan lebih 100 orang maut dalam hanya beberapa ratus meter dari kawasan kart kecil Sharyari.

“Saya terkejut tetapi Kabul adalah bandar raya yang berdaya tahan. Esok hari, warga setempat kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa, berlegar-legar di jalan raya dan meneruskan bisnes.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori