JOHOR BAHRU – Kalangan warga emas dan ibu tunggal yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Johor Bahru hari ini bersyukur dengan bantuan itu dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.
Bagi Nurhairun Abdul Kadir, 65, bantuan itu dapat digunakan untuk membeli keperluan harian dan membantu membayar bil memandangkan dia kini tinggal di rumah anak saudaranya,
“Sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan beban kos sara hidup, malahan saya juga dapat bantu keluarga memandangkan saya belum berumah tangga,” katanya ketika ditemui Bernama.
Lelaki warga emas itu merupakan antara 1,300 penduduk di sekitar kawasan Johor Bahru yang menerima baucar BR1M di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Johor Bahru di sini. Turut hadir anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Sementara itu, P. Sathiawani berkata sebagai ibu tunggal, dia perlu bekerja bagi menyara hidup dan bantuan itu amat bermakna dalam membantu mengurangkan bebannya.
“Rumah sewa perlu dibayar sebanyak RM250 sebulan. Selain membeli barangan keperluan harian, membayar bil dan menjaga seorang cucu, BR1M ini dapat meringankan beban yang perlu saya tanggung,” katanya.
Bekerja sebagai pembantu rumah, Sathiawani, 32, yang mempunyai tiga orang anak, berkata BR1M sangat penting dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan seperti dirinya.
Tukang kayu, Tan Lan Hock, berkata usaha kerajaan itu harus dipuji kerana prihatin akan keperitan rakyat sepertinya.
“BR1M ini sangat bagus kerana saya berpendapatan rendah. Melalui pemberian ini, saya dapat mengunakannya untuk membayar sewa bilik sebanyak RM250 sebulan selain dapat membeli pakaian baharu,” kata warga emas itu. – BERNAMA