KUALA LUMPUR – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR), Februari lalu.
Mat Yatim Bakar, 60, seorang pesara polis, didakwa memalsukan dokumen iaitu borang permohonan MyPR, dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu di Restoran Old Town White Coffee, Ampang Point, di sini pada 1 Feb lepas.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan kerana dia menghidap penyakit jantung dan kencing manis serta memerlukan rawatan susulan di hospital setiap minggu.
Majistret Haslinda A.Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei untuk sebutan semula kes. – BERNAMA