Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Belanja Lebih RM600,000 Untuk...

INI memang kisah transformasi wajah yang agak ekstrem apabila sedari remaja lagi seorang...

Lukisan Hyper-Realistik Ini Pasti...

Kenali Eloy Morales, beliau adalah seniman Sepanyol yang terkenal dengan lukisan hyper-realistik.Lihat sahaja...

Tubuh Jawatankuasa Warisan Baharu...

MELAKA - Yang di-Pertuan Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob hari ini...

Ahok Ceraikan Isteri Dari...

JAKARTA - Peguam yang mewakili mantan gabenor Jakarta, Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama telah mengesahkan bahawa...

Yaacob Hassan: Kudung Kerana Negara

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

DI tempat kelahirannya – Kampung Manggol Kambing, Pendang, Kedah – orang mengenalinya sebagai Zainon manakala ketika berkhidmat sebagai anggota komando dulu, rakan-rakan serta pegawainya lebih suka memanggilnya Tok Batin.

Nama tersebut muncul gara-gara wajahnya yang mirip Tok Batin Silap iaitu ketua masyarakat Orang Asli di Pos Brooks, Cameron Highlands pada tahun 1970-an dahulu.

Bagaimana pun, selepas tragedi hitam yang menimpanya pada tahun 1976, orang mula memanggilnya sebagai Yaacob Kudung pula dan nama itu melekat sehingga kini.

Walau apapun gelarannya, Yaacob Hassan tidak pernah merasa malu atau berkecil hati dengan panggilan tersebut biarpun ia diungkapkan oleh kanak-kanak atau remaja.

Bagi bekas tentera ini, mereka yang memanggilnya dengan gelaran itu kebanyakannya tidak mengetahui kisah sebenar bagaimana dirinya boleh mengalami kecacatan kekal tersebut.

“Tiada sebab untuk saya merasa malu atau marah. Malah saya tidak pernah merasa menyesal memasuki tentera kerana mengalami kecacatan ini.

“Inilah bukti pengorbanan saya untuk agama, bangsa dan negara,’’ kata bekas Koperal Yaacob, 50, penuh semangat sambil menunjukkan tangan kanannya yang kudung kepada penulis baru-baru ini.

Baginya perkataan menyesal tidak harus ada pada mana-mana anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) dan kerana itulah beliau terus menggalakkan anak-anaknya agar mengikut jejaknya.

Hasilnya, kini anak nombor tiganya daripada tujuh beradik telah pun berkhidmat sebagai anggota tentera darat.

Operasi Khas

Menyingkap kembali peristiwa tersebut, Yaacob berkata ia berlaku kira-kira pukul 10 pagi pada 21 April 1976 ketika beliau bersama 44 orang rakan daripada 21 Komando RGK, ditugaskan untuk menawan sebuah perkampungan yang menjadi kem terbesar komunis di sempadan Thailand-Malaysia melalui Gerakan Gubir II.

Tujuan operasi khas itu adalah untuk melumpuhkan kegiatan musuh yang dianggarkan seramai 1,000 orang.

Sebelum kumpulannya dihantar ke situ, pesawat F5E telah melancarkan serangan bom dari udara untuk melemah serta mengkucar-kacirkan pertahanan musuh.

Selepas itu, barulah pasukan yang disertai Yaacob dihantar menggempur kawasan tersebut menggunakan tiga buah helikopter.

Ketika hendak mendarat, mereka yang turun menggunakan tali telah ditembak daripada pelbagai penjuru oleh musuh.

Bagaimanapun, mereka berjaya mendarat dengan selamat dan sempat mencari tempat perlindungan sebelum melancarkan serangan balas.

Mereka agak bernasib baik kerana bilangan musuh ketika itu telah berkurangan kerana ramai yang telah berundur ke Thailand menggunakan terowong bawah tanah selepas diserang.

“Jumlah musuh yang memberi tentangan, lebih 200 orang, namun akhirnya selepas bertempur selama kira-kira sejam, kem tersebut berjaya kami tawan,’’ katanya sambil menyifatkan kejayaan tersebut merupakan kebanggaan RGK sehingga sekarang.

Namun selepas itu , sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila seorang demi seorang rakannya terkena jerangkap samar ketika melakukan tugas penggeledahan.

Ketika melalui lorong tersebut saya ternampak empat butir jerangkap samar dan berjaya mematikan kesemuanya. Tetapi ketika menghampiri kawasan lapang di bawah bukit, saya menemui sebutir lagi jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia. Semasa baru hendak menghampiri alat letupan itu menggunakan pisau, saya dapati ia sudah berasap dan tak lama kemudian terus meletup.

Yang pertama terkena ialah Staf Sarjan Ahmad Jantan diikuti Trooper Hussin Mahbib. Kedua-duanya putus sebelah kaki.


Selepas itu, barulah mereka sedar bahawa terdapat banyak jerangkap samar di sekeliling kem itu.

“Bahkan saya pernah diberitahu oleh seorang bekas komunis yang menyerah diri selepas itu, bahawa mereka telah menanam 7,000 butir jerangkap samar di situ pada tahun 1970,’’ katanya.

Ekoran itu, kesemua mereka diarah supaya lebih berhati-hati di samping memusnahkan jerangkap samar yang dijumpai.

Pada masa yang sama, Yaacob telah ditugaskan membersihkan laluan yang akan digunakan untuk membawa Ahmad dan Hussin ke kawasan lapang bagi membolehkan helikopter membawa mereka ke hospital dengan segera.

“Ketika melalui lorong tersebut saya ternampak empat butir jerangkap samar dan berjaya mematikan kesemuanya.

“Tetapi ketika menghampiri kawasan lapang di bawah bukit, saya menemui sebutir lagi jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia. Semasa baru hendak menghampiri alat letupan itu menggunakan pisau, saya dapati ia sudah berasap dan tak lama kemudian terus meletup,’’ katanya.

Akibat letupan itu, badan Yaacob tercampak sejauh tiga meter, tangan kanannya putus dan hancur manakala sebahagian tapak tangan kirinya turut mengalami nasib yang sama.

Kening dan tepi dagu juga terkoyak manakala mata kirinya menjadi rabun sehingga sekarang.

“Walaupun begitu, saya masih sedar dan tidak merasa sakit langsung. Yang saya rasa hanyalah kebas sehinggalah dibawa ke hospital,’’ katanya yang sebelum itu pernah terbabit dalam hampir 20 operasi termasuk bertempur dengan musuh sebanyak tiga kali.

Pemulihan

Ekoran kecederaan tersebut, Yaacob terpaksa menjalani rawatan dan pemulihan selama lebih enam bulan di tiga buah hospital tentera.

Sesuatu yang tidak dapat dilupakan semasa saat cemas itu kata Yaacob, ialah tentang nilai kesetiaan seorang kawan.

“Salah seorang yang saya tidak dapat lupakan ialah Koperal Phillip anak Jantung.

“Dialah yang menyuruh saya mengucap berulang kali walaupun dia bukan beragama Islam,’’ katanya.

Antara ungkapan Phillip yang masih diingat ialah: “Engkau kena mengucap Yaacob. Engkau jangan masuk neraka macam aku.’’

Kata-katanya itu, menurut Yaacob telah menyentuh hatinya biarpun Phillip mungkin hanya mahu `melawak’ dengannya.

Selepas bersara pada tahun 1990, Yaacob menetap di Tanjung Keling, Melaka dan meneruskan kehidupannya sebagai tukang kayu sehingga kini. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori