KERETA api merupakan pengangkutan yang menjadi pilihan masyarakat untuk ke mana-mana lokasi tidak kiralah sama ada destinasi yang dekat mahupun yang jauh.
Namun tahukah anda, di negara luar kereta api bukan hanya berfungsi sebagai pengangkutan awam, tetapi turun digunakan sebagai restoran mewah buat para penumpang dan pelancong.
Inovasi dan kreativiti beberapa orang pencipta telah berjaya mereka semula kereta api yang dahulunya beroperasi sebagai sebuah pengangkutan awam biasa dan telah mengubahnya menjadi sebuah restoran atau hotel yang cukup unik.
Memetik portal online Media Permata, terdapat 10 restoran dalam kereta api yang disenaraikan terhebat dunia.
1. Restoran The Spotgate Inn
Terletak di United Kingdom (UK), restoran ini pernah beroperasi sebagai kereta api kendalian syarikat pengangkutan Pullman yang menghubungkan penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain pada tahun 1928.
Berkonsepkan seperti restoran yang berada di hotel mewah yang dilengkapi dengan perabot yang sangat selesa, para penumpang berpeluang menikmati hidangan dalam restoran kereta api ini.
Bunyi pergerakan gerabak kereta api ada kalanya membuatkan penumpang kembali ke dunia realiti sekaligus menyedari bahawa mereka sedang menikmati hidangan dalam sebuah kereta api yang bergerak.
2. Restoran 1880 Town
Dahulunya restoran ini berfungsi sebagai kereta api Santa Fe, Amerika Syarikat (AS) sekitar tahun 1950 yang menghubungkan penumpang dari Chicago ke California dan telah diubahsuai menjadi restoran sejak tahun 1982.
Sajian yang dihidangkan setiap hari menjadi daya penarik utama pengunjung sering kembali ke restoran ini.
Pencuci mulut yang enak seperti pai krim merupakan kegemaran pengunjung di Restoran 1880 Town dan menjadi manisan paling popular di situ.
3. Restoran Sahib Sindh Sultan
Menawarkan konsep hidangan makanan India, restoran yang berada dalam kereta api ini terletak di Hyderabad, India.
Pengunjung bakal terpesona dengan keindahan dekorasi dalamannya yang kreatif dan mengikut budaya India yang ditampilkan dalam kereta api ini.
Antara hidangan popular yang disajikan adalah seperti masala cendawan dan kebab kambing.
4. Restoran Le Wagon Bleu
Restoran Le Wagon Bleu merupakan sebuah restoran yang dibina pada gerabak terakhir Orient Express di Paris, Perancis yang mempunyai hiasan dalamannya sangat menarik dengan menampilkan konsep mewah Art Deco.
Para penumpang berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan yang berkonsepkan Corsican ketika berada dalam kereta api ini yang menghubungkan perjalanan stesen kereta api Gare Saint-Lazare.
“Perkhidmatan dan layanan yang sangat baik. Saya mencadangkan untuk menikmati hidangan burger dan ketang gorangnya yang enak,” kata salah seorang netizen yang mengunjungi restoran berkenaan dikenali sebagai Humberto Silveira.
5. Restoran Carriages of Cambridge
Restoran ini diilhamkan oleh Michael Attle yang terinspirasi setelah mengunjungi sebuah restoran dalam sebuah stesen kereta api di India.
Aapbila dia kembali ke UK sekitar 1920-an, Attle telah mula mereka sebuah kereta api yang dilengkapi bersama dengan restoran ini yang memiliki platform berbatu.
Pengunjung akan terpukau dengan hirupan teh yang melegakan dalam kembara kereta api yang berkonsepkan gerabak ala Pullman ini.
6. Restoran The Station Kitchen
Terletak di pinggir platform Stesen Old West Bay barat Dorset, England, Laluan kereta api itu telah dimansuhkan sekitar tahun 1960-an.
Pun begitu, masih terdapat lagi baki trek landasan sepanjang 60 meter di stesen lama yang sesuai menjadi platform bagi kereta api tersebut.
Keadaan ruang dalaman kereta api yang cukup mewah dan unik telah berjaya menarik perhatian syarikat penerbitan siri televisyen Broadchurch untuk menjadikannya sebagai lokasi penggambaran.
7. Restoran Sporvejen
Sporvejen pula merupakan sebuah restoran dalam kereta api di Denmark dengan hiasan dalaman yang berkonsepkan klasik pernah digunakan ketika dahulu sebagai kereta api di Denmark pada tahun 1841 hingga 1884.
Perkhidmatan kereta api tersebut telah ditamatkan berikutan kurang mendapat sambutan terutama apabila kereta api yang dikuasakan oleh sistem elektrik telah menjadi pilihan utama.
Di restoran ini para pengunjung akan berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan burger di dalam kereta api yang turut menyediakan ruang makan cukup selesa.
8. Restoran Hotel McKittrick
Ruang makan yang menampilkan konsep seperti sebuah kereta api pada era 1930-an yang dilengkapi dengan langsir dan sistem pencahayaan yang agak redup menjadi tarikan pengunjung untuk ke restoran yang berada di New York, AS.
Pengunjung yang enggan menikmati hidangan dalam sebuah restoran yang menampilkan konsep seperti berada dalam sebuah kereta api, maka mereka boleh memilih untuk menikmati hidangan dalam dewan makan yang memiliki sebanyak 120 tempat duduk.
Kebanyakan hidangan yang ditawarkan di dalam restoran ini adalah berkonsepkan makanan laut.
9. Restoran Hotel The Sidings
Terletak di wilayah York, UK, restoran ini direka dengan menampilkan konsep Pullman pada tahun 1985 oleh bekas pencinta kereta api di sini.
Sebahagian daripada gerabak di dalam kereta api itu telah bertukar menjadi bilik tidur sekali gus memberi peluang kepada para penumpang untuk menginap di sebuah kawasan yang menawarkan satu suasana baru.
10. Restoran Toget
Hasil gabungan dua buah gerabak kereta api restoran ini dibina di tengah-tengah bandar Norway yang hanya beroperasi dari bulan April hingga Oktober.
Para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai menu yang dihidangkan dalam restoran ini dan antara menu istimewa yang disediakan ialah sup ikan dan kentang putar. – MYNEWSHUB.CC/MIZE