WELLINGTON – Beribu-ribu penduduk Auckland, bandar terbesar di New Zealand, terputus bekalan elektrik pagi ini, selepas dilanda angin kuat hingga pihak berkuasa memaksa penduduk untuk berlindung di dalam rumah.
Menurut, pengendali bekalan elektrik Vector, angin dengan kelajuan 146 kilometer sejam menumbangkan pokok dan tiang elektrik sepanjang malam, menyebabkan lebih 100,000 kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik.
“Terdapat kerosakan di Auckland pagi ini selepas ribut kuat malam tadi, pastikan anda hanya melakukan perjalanan jika perlu,” kata Majlis Bandaraya Auckland di laman webnya.
Ribut yang dijangka berterusan selama beberapa hari lagi itu, mula melanda bandar berkenaan sejak Selasa, membawa bersama salji musim luruh ke sebahagian Pulau Selatan dan ribut kecil di tengah pulau utara.
Sementara itu, laman web syarikat penerbangan negara, Air New Zealand memberi amaran jadual penerbangan mungkin terjejas, walaupun kebanyakan penerbangan masuk dan keluar dari Auckland beroperasi seperti biasa hari ini.
Hujan lebat dan salji tebal dijangka berterusan untuk beberapa hari lagi. Perkhidmatan Kaji Cuaca negara itu turut mengeluarkan amaran angin yang lebih teruk bakal melanda Auckland pada malam esok. – Reuters/BH ONLINE