TIADA MAAF… Semua maklum pembangkang kini dalam keadan tertekan sehingga terpaksa guna peguam tertentu konon pertikai urusan dalaman UMNO selain isu remeh warna bendera BN.
Pakatan Harapan (PH) yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) malah terpaksa guna lambang mata satu PKR setelah logo bersama gabungan pembangkang itu gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Terbaharu, sekali lagi mereka terdesak dengan mengeksploitasi sekumpulan 16 ahli UMNO sendiri dari lima negeri untuk sabotaj memfailkan semakan kehakiman bagi bubar parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Dibantu khidmat seorang peguam yang diketahui pro-PH, mereka biadab berbuat demikian atas dakwaan konon kedudukan UMNO sebagai pertubuhan sah sudah berakhir 19 April waima sudah diberi penangguhan pihak RoS.
Kumpulan itu mendakwa kononnya penangguhan pemilihan jawatan parti dianggapnya sudah berlarutan lebih 18 bulan, selepas cubaan peguam sama mencabar warna logo BN gagal dan menjadi bahan jenaka netizen prokerajaan.
Walhal semua maklum di bawah fasal 20.7 perlembagaan UMNO jelas tertera mana-mana ahli parti yang sengaja memfailkan permohonan atau tindakan mahkamah berhubung urusan parti akan secara automatik hilang keahlian.
Justeru Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan tindakan tegas dengan hukuman pemecatan berkuat kuasa serta-merta terhadap mereka ketika ditemui wartawan di Putrajaya pada Sabtu
Beliau berkata, pemecatan itu mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang membenarkan parti melarang apa jua perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan berkaitan pentadbiran dibawa kepada mahkamah.
“Kita tahu ada dalang dalam perkara ini, kita telah bersedia untuk apa jua kemungkinan…” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN merujuk tindakan peguam anti-BN itu jelas hadir bersama-sama 16 ahli UMNO tersebut.
Beliau menambah: “Kita sudah bersedia untuk apa jua kemungkinan sebab tahu mereka (PH) lemah dan akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebab itu mereka guna pelbagai cara termasuk isu teknikal perundangan.
“Ini untuk menidakkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi BN mengeluarkan watikah calon. Namun, saya ingin memaklumkan setakat ini tiada masalah bagi beliau menandatangani watikah untuk semua calon BN.”
Tambah Tengku Adnan, pihak ibu pejabat UMNO sendiri bertindak ikut peraturan dan meminta penangguhan pemilihan jawatan parti daripada pihak RoS yang kemudian memberi kelulusan mengenainya pada 5 Mac lalu.
“Kalau tiada kelulusan RoS, kita terpaksa lakukanlah pemilihan itu sekarang,” kata beliau dalam nada sindiran. Semalam Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun turut mengulas isu penangguhan tersebut.
Beliau berkata tiada keperluan bagi UMNO memohon deklarasi mahkamah semata-mata untuk dapat kepastian mengenai statusnya sebagai parti yang sah hanya kerana parti itu menangguhkan pemilihan parti terlalu lama.
Menurut Hafarizam, ini kerana status UMNO sebenarnya masih lagi sah sebagai sebuah pertubuhan berdaftar atau parti politik seperti diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan 1966 dan juga diiktiraf oleh pihak RoS sendiri.
Beliau menegaskan, tidak ada asas yang boleh disandarkan oleh pihak pengurusan parti untuk membuat satu permohonan deklarasi mahkamah bagi memutuskan status parti kerana tiada unsur kesamaran dalam isu ini.
Malahan kata Hafarizam, sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk cuba mendapatkan deklarasi mahkamah bagi justifikasi secara legal juga hanya tindakan sia-sia kerana isu ini sebetulnya kini lebih bersifat akademik.
“Malah mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 pula, sebarang keputusan dibuat parti atau perkara berkaitan dengan perjalanan parti, termasuk menangguhkan pemilihan jawatan parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.
“Justeru, jika saya bertindak menasihatkan UMNO untuk memohon deklarasi mahkamah bagi menentusahkan status parti, saya akan dianggap pula sebagai tidak pasti atau ragu-ragu dengan keputusan pihak RoS sendiri.
“Pendek cerita, jika saya berbuat demikian, ia akan menggambarkan saya seperti tidak jelas atau faham peruntukan undang-undang dan kuasa RoS serta proses perlu dilalui bagi menentukan isu ini,” katanya dipetik akhbar NST.
Hafarizam mengulas kenyataan tokoh UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyarankan UMNO mendapatkan deklarasi mahkamah bagi menentukan statusnya sama ada masih organisasi sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Rais berpendapat kedudukan UMNO sebagai pertubuhan sah konon berakhir pada 19 April susulan penangguhan pemilihan parti yang dianggapnya berlarutan lebih 18 bulan setelah kali terakhir dilakukan pada 19 Oktober 2013.
Selasa lalu, Tan Sri Rafidah Aziz turut menulis di akaun sosial Facebook berkongsi pandangan seorang rakannya yang anggap UMNO konon tidak boleh bertanding pada PRU-14 kerana parti itu dianggap tidak sah selepas 19 April
Mengulas lanjut, Hafarizam menegaskan, tidak ada mana-mana pihak termasuk ahli parti sendiri boleh pertikai kedudukan UMNO waima isu penangguhan pemilihan jawatan sehingga April 2019 kerana ia sudah diterima RoS.
“Saya merujuk hal ini berdasarkan kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, bahawa RoS mempunyai kuasa lebihan (residual powers) untuk membenarkan pihak UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2019.
“UMNO sudah buat permohonan seawal Oktober tahun lalu untuk tangguh pemilihan parti sehingga April 2019. Ia dibuat menerusi represantasi dengan menyatakan alasan mengapa perlu lebih masa mengadakan pemilihan parti.
“RoS juga sudah menjawab secara bertulis serta memberi kebenaran. Oleh demikian, mengapa perlu dipertikaikan lagi isu ini sedangkan proses memohon kebenaran menangguhkan pemilihan parti sudah diberikan ROS,” katanya.
Beliau turut berkata, dakwaan UMNO tidak boleh bertanding pada PRU-14 juga tidak timbul kerana calon UMNO akan menggunakan lambang Barisan Nasional yang sah pada setiap kali pilihan raya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA