KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan 19 penyandang dan beberapa muka baharu untuk berdepan parti lawan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Lebih mengejutkan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari digugurkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan digantikan dengan Datuk Rosol Wahid yang pernah menyandang kerusi DUN Ajil selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013.
Pengumuman senarai calon itu dibuat Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di kediaman rasminya di Seri Iman di sini hari ini.
Beliau pula kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.
Mereka yang bertanding bukan sahaja terdiri daripada bekas pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam seperti bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato Wan Nawawi Wan Ismail bagi Parlimen Kuala Terengganu tetapi juga melibatkan pakar motivasi iaitu Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus.
Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said juga kekal bertanding sepertimana PRU13, masing-masing di Parlimen Besut dan DUN Kijal.
Sepertimana jangkaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek terus bertanding di Parlimen Kemaman. – BERNAMA