BERSEJARAH… Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menjadi pemimpin pertama Pyongyang yang jejak kaki di Korea Selatan dan julung kali melintasi Zon Bebas Tentera (DMZ) sejak 65 tahun.
Kedua-dua negara berjiran di Semenanjung Korea itu terpisah secara politik selepas berakhirnya Perang Korea pada 1953 menerusi proses gencatan senjata dan dari segi teknikal, masih lagi dianggap sebagai berperang.
Uniknya, Jong-un dilihat begitu mesra dapat berjabat tangan dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in sambil tersenyum ceria di sempadan bersama dua buah negara itu tepat 9.29 pagi Jumaat (8.29 pagi waktu Malaysia).
Jong-un berkata, beliau mengharapkan rundingan yang ‘tulus’ dalam pertemuannya dengan Jae-in. Pertemuan itu akan membincangkan isu senjata nuklear dan perjanjian keamanan antara kedua-dua negara
Pertemuan pemimpin Korea Utara dan Selatan di DMZ yang memisahkan dua negara untuk hadir dalam satu sidang puncak bersejarah, dianggap perjumpaa peringkat tertinggi pertama dalam usaha diplomatik nuklear mereka.
Pertemuan di bahagian selatan kampung keamanan Panmunjom – adalah ketiga seumpamanya sejak akhir Perang Korea – bertujuan untuk merintis jalan pertemuan Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jae-in menyambut ketibaan Jong-un di blok konkrit yang menandakan sempadan politik di antara kedua-dua Korea di Zon Bebas Tentera untuk memulakan upacara yang cukup bersejarah dan penuh simbolik itu.
Sebaik melangkah garisan itu, Jong-un secara rasmi dianggap menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara yang pertama berjaya dapat menjejakkan kaki di Korea Selatan sejak Perang Korea berakhir hampir tujuh dekad lalu.
“Saya sangat gembira dapat bertemu dengan anda,” kata Jae-in kepada Jong-un. Pemimpin Korea Selatan itu juga sempat menjejakkan kakinya ke tanah Korea Utara sebelum berjalan kembali ke Zon Bebas Tentera.
Menurut media tempatan, Jong-un akan “bincangkan secara terbuka tentang isu timbul dalam meningkatkan hubungan Pyongyang-Seoul bagi capai keamanan, kemakmuran dan penyatuan semula Semenanjung Korea”.
Helikopter-helikopter kelihatan di udara ketika Jae-in meninggalkan pejabatnya di Rumah Biru, Seoul diiringi konvoi kenderaan sambil diraikan penduduk yang menunggu di sepanjang jalan mengibarkan bendera Korea.
Jae-in juga sempat menyapa para penyokongnya dan melahirkan rasa terima kasih kepada para pegawai polis. Program nuklear Korea Utara akan menjadi agenda utama sidang puncak tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA