KUALA NERUS – Sebanyak 23 keluarga di Kampung Lembah Harapan Seberang Takir yang sudah lebih 40 tahun hidup dalam kegusaran, kini mampu tersenyum lega.
Peluang memiliki rumah sendiri menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Harapan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir hasil inisiatif Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tidak sekali-kali dilepaskan mereka.
Hitam@Robiah Embong, 75 yang juga antara penduduk terawal kampung itu berkata kebimbangannya bersama suami, Mohamad Jusoh yang mendirikan rumah secara haram sejak 40 tahun lalu di atas tanah milik kerajaan, kini berakhir selepas memiliki rumah secara sah.
“Selama ni makcik cukup bimbang…selalu fikir kalau-kalau kena halau dengan kerajaan. Tapi Alhamdulillah, menteri besar bukan sahaja tolong bina rumah baharu, tetapi turut memberi tanah ini kepada makcik,” katanya yang memiliki tujuh anak dan 15 cucu.
Seorang lagi penduduk, Sanah Sulong, 60, turut berkongsi kegembiraan sama berkata rumah yang didirikan kerajaan nyata berbeza dan lebih baik berbanding rumahnya sebelum ini.
“Dulu rumah kami semua kayu…agak daif dan ada yang hampir runtuh kerana ini kawasan paya pada asalnya. Memang lega apabila rumah asal kami digantikan dengan rumah batu, lengkap dengan dapur, bilik mandi dan bilik tidur.
“Kalau dulu, setiap kali musim tengkujuh kami memang cukup risau sebab kadangkala air naik sampai ke paras dada. Tapi sekarang kawasan ni sudah ditambak dan ditinggikan,” katanya yang tinggal bersama dua anaknya.
Ahmad Razif berkata pihaknya bimbang nasib penduduk kawasan terlibat kerana apabila berlaku pembangunan, tanah yang dididami mereka mungkin akan diambil untuk dibangunkan dan pampasan yang diterima pula mungkin tidak setimpal.
“Atas dasar tanggungjawab dan rasa prihatin, kita rancang untuk bina semula rumah mereka (penduduk) dengan lebih baik dan kita beri mereka tanah…kos keseluruhan untuk infrastruktur termasuk pembinaan jalan dan longkang menelan belanja kira-kira RM400 ribu manakala sebuah rumah bernilai RM40,000, ” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah projek PPRT Lembah Harapan di sini.
Ahmad Razif berkata kos pembinaan rumah tersebut ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri menerusi peruntukan ADUN yang diterimanya untuk membina projek PPRT.
“Hari ini kita serahkan kunci untuk 11 keluarga. 12 rumah lagi yang masih dalam pembinaan dijangka siap akhir Mei ini,” katanya. – BERNAMA