JAKARTA – Seramai 24 orang maut selepas meminum sejenis air Coca Cola yang dicampur alkohol dan minuman tenaga, kata polis hari ini, kejadian terbaru membabitkan penjualan arak buatan sendiri di Indonesia.
Polis berkata, seorang pemilik kedai di Jakarta ditangkap semalam kerana menjual arak buatan sendiri di gerai herba miliknya.Sebanyak 16 kematian direkodkan sejak Isnin lalu di sekitar Jakarta manakala lapan kematian dilaporkan di Papua.
Beberapa lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital.
“Peniaga ini mengaku dia mencampurkan alkohol tulen dengan minuman Coca Cola dan minuman tenaga. Lelaki itu menyangka minuman itu selamat tetapi ia menyebabkan pelanggannya maut,” kata ketua polis Jakarta Selatan, Indra Ja’far.
Ujarnya, sebahagian minuman campuran bahaya itu mungkin datang dari satu pengedar tunggal yang menjual kepada peniaga tempatan.
“Kami kini memburu penjual, bukan sahaja peniaga kecil tetapi turut termasuk pengedar.
“Kami percaya pengedar yang besar di sebalik kes ini,” kata ketua polis Jakarta Timur, Tony Surya Putra. – AFP/BH ONLINE