KUALA LUMPUR – Seramai 29 pelajar dari enam sekolah di Kelantan hari ini menamatkan kursus Program Kepimpinan Danajamin100.
Program itu merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin), dengan kerjasama Yayasan Pintar (Pintar).
Majlis tersebut dihadiri ibu bapa dan beberapa pemimpin masyarakat termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohammad Zahari Othman; pakar bedah ortopedik dan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan wakil dari Danajamin dan Pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Mohamed Nazri Omar berkata setiap organisasi perlu memainkan peranan penting dalam memberi khidmat kepada masyarakat.
“Agak sukar untuk mengekalkan kemampanan dalam projek CSR kerana ia memerlukan sumber kewangan dan masa untuk dilaburkan ke dalam projek tersebut.
“Bagi kami, Danajamin100 bukan hanya sebuah projek, tetapi ia sejajar dengan perniagaan kami. Ia diuruskan oleh kakitangan kami sendiri dengan bimbingan daripada Yayasan Pintar.
“Apa yang akan dipelajari oleh pelajar adalah perkongsian pengalaman hidup dan pengetahuan dari para mentor, yang secara tidak langsung memberikan kakitangan kami kemahiran untuk mendidik dan mengasuh para peserta,” kata beliau.
Sejak dimulakan pada 2014, program 18 bulan itu telah menyaksikan 60 pelajar menamatkan proses pembelajaran holistik yang melampaui pencapaian akademik.
Dipandu oleh tiga elemen utama – pembinaan watak, kepimpinan dan kemahiran profesional – melalui pelbagai perancangan terperinci, Danajamin100 akan mengoptimumkan sifat kepimpinan para pelajar dan memaksimumkan potensi mereka sepenuhnya.
Ini adalah kali pertama majlis graduasi diadakan di Kelantan, melibatkan sekolah-sekolah di negeri itu. – BERNAMA