GOLD COAST – Tiga penerjun lelaki negara, Ahmad Amsyar Azman, Muhammad Syafiq Puteh dan Ooi Tze Liang layak ke peringkat akhir acara terjun 1m papan anjal lelaki Sukan Komanwel 2018.
Dalam acara yang berlangsung di Optus Aquatic Centre, Ahmad Amsyar yang agak goyah pada permulaan, bangkit konsisten mengumpul 343.75 mata untuk kedudukan ketujuh.
Muhammad Syafiq yang membuat penampilan sulung pada temasya itu berada pada tempat kelapan selepas mengumpul 306.80 mata, diikuti Tze Liang pada kedudukan ke-10 dengan 302.30 mata.
Penerjun England yang juga juara bertahan Jack Laugher mengungguli kedudukan dengan jumlah 399.80 mata, diikuti penerjun Jamaica Yona Knight-Wisdom pada tempat kedua dengan 368.15, manakala tangga ketiga pula dihuni peserta Scotland James Healty dengan 366.05 mata.
Seramai 12 penerjun mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung 7 malam waktu tempatan. – BERNAMA