PUTRAJAYA — Tiga pensyarah adalah antara lapan peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam ketiga Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-61 2018/1439 Hijrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini malam ini.
Mendahului peserta malam ini ialah qari Perlis yang merupakan pensyarah Usuluddin di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis, Muhammad Anas Abdul Hadi, 28, yang membaca surah Ibrahim ayat 24.
Seorang lagi qari ialah pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunah Universiti Sains Islam Malaysia Dr Anuar Hasin, 34, yang mewakili Perak.
Anuar membaca surah Al-Baqarah ayat 124.
Pensyarah ketiga ialah pensyarah pengajian Islam Kolej Universiti Islam Melaka, Suhailah Zulkilfy, 29.
Qariah yang mewakili Melaka itu membaca surah At-Taubah ayat 18.
Lima lagi peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam ini ialah Nur Hafizah Ahmad Tajudin (Pahang) yang membaca surah Hud ayat 69, Munirah Kasim (Kelantan) yang membaca surah Yunus ayat 90, Marzian Mohd Deli, qariah Kedah yang membaca surah Al-Qasas ayat 76.
Qari Terengganu Mohd Zaky Ismail yang membaca surah An-Nur ayat 54, dan qariah Wilayah Persekutuan Noor Suhaiza Chulan, membaca surah Al-Haj ayat 1.
Penyertaan bagi kategori tilawah melibatkan 28 peserta, masing-masing 14 qari dan 14 qariah mewakili 14 negeri. Sementara kategori menghafaz al-Quran pula membabitkan 79 peserta terdiri daripada 42 lelaki dan 37 wanita. — BERNAMA