PONTIAN – Seramai 454 nelayan di Mukim Serkat dekat Tanjung Piai, di sini menerima wang ihsan dari kerajaan dalam usaha membantu mereka yang hilang pendapatan kesan daripada pembinaan benteng pemecah ombak di perairan mukim berkenaan.
Bantuan sebanyak RM2,000 seorang secara one-off itu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Abu Bakar Abdullah, 50, berkata pemberian wang ihsan kepada golongan nelayan sepertinya sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya sekeluarga.
Menurut bapa kepada dua orang anak itu, sumbangan berkenaan dapat menampung keperluan sehari-hari selain menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Saya bersyukur dengan pemberian wang ihsan ini. Saya dapat membeli barangan dapur dan menyara anak yang masih bersekolah selain menyelenggara bot saya yang rosak,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima wang ehsan itu di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, di sini hari ini.
Abu Bakar, yang hampir 20 tahun menjadi nelayan itu, juga berharap agar kerajaan akan terus memberi bantuan kepada para nelayan memandangkan pendapatan mereka yang tidak menentu.
Majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar itu, turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi.
Sementara itu, Nazaruddin Abdul Wahid, 43, berkata dia amat menghargai wang ihsan itu kerana menunjukkan kerajaan sangat mengambil berat terhadap kesusahan yang dialami golongan nelayan.
“Kerajaan tidak pernah mengenepikan kami golongan nelayan malah kami sering diberi bantuan. Saya bersyukur kerana kerajaan kita sentiasa mengambil berat,” katanya.
Azlina Ahmad Ghani, 34, pula berkata walaupun ayahnya yang bekerja sebagai nelayan sudah meninggal dunia namun kerajaan masih memberi sumbangan wang ihsan kepadanya yang merupakan anak tunggal.
“Walaupun ayah sudah tiada tetapi kerajaan masih bantu, sedikit sebanyak wang ini dapat menanggung kos sara hidup saya,” katanya.
Terdahulu, Ismail berkata kementerian melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Jabatan Perikanan juga telah merangka pelan alternatif kepada nelayan tempatan bagi meningkatkan pendapatan nelayan.
“Antara insiatif tersebut adalah memberi bantuan untuk golongan nelayan menceburi bidang agro pelancongan, keusahawanan dan pemasaran, kemahiran dan industri asas tani.
“Pelbagai usaha dan bantuan akan diberikan kepada golongan nelayan ini bagi membantu menambahkan pendapatan harian, ” katanya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 bagi menaiktaraf jeti Air Masin dekat Kukup. – BERNAMA