PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan yang difailkan oleh 48 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Segamat, Johor yang mencabar kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan mereka dalam rang daftar pemilih.
Pengundi yang diketuai oleh Abdul Wahab Hassan memohon kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kemasukan nama anggota tentera dan pasangan mereka dalam Rang Daftar Pemilihan Tambahan Suku Ketiga 2017.
Mereka gagal mendapat kebenaran di Mahkamah Tinggi dan dengan itu merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Hari ini, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Suraya Othman menolak rayuan mereka tanpa mengeluarkan apa-apa perintah mengenai kos.
“Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya,” kata beliau dan menambah rayuan itu tidak mempunyai merit.
Pengundi tersebut memohon kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman pada 26 Feb, tahun ini untuk membatalkan kemasukan 949 nama dalam daftar pemilih dan menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pendaftar Pemilih Johor, Shafie Taib dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus sebagai responden.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa tindakan SPR adalah menyalahi perlembagaan kerana ia tidak memathui Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga mendakwa penyiasatan awam berhubung kemasukan nama-nama tersebut jelas melanggar prinsip keadilan asasi dan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan oleh itu ia tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang.
Pengundi tersebut telah memulakan usaha baharu selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Jan tahun ini membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Jan, tahun ini, untuk memberi kebenaran kepada mereka bagi semakan kehakiman.
Semasa prosiding hari ini, peguam Surendra Ananth yang mewakili pengundi tersebut berhujah bahawa kebenaran untuk memulakan senmakan kehakiman harus dibetrikan kepada anak guamnya kerana mereka mempunyai kes yang boleh dihujah dan mereka mahu bukti bahawa anggota tentera itu menetap dan bertugas di kawasan Segamat.
Peguam kanan persekutuan Suzana Atan yang mewakili responden berhujah bahawa nama-nama itu telah diwartakan dalam daftar pemilih dan oleh itu ia tidak boleh dicabar di mahkamah seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.
Surendra memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA