SEBAHAGIAN individu yang ingin menurunkan berat badan mungkin tidak mengambil sarapan, sekali gus mengambil makan tengah hari dengan beranggapan dapat mengurangkan makan.
Namun, anggapan tersebut adalah tidak tepat. Apa yang anda perlu tahu, pengambilan sarapan adalah perkara penting untuk anda kekal aktif dan bertenaga seharian.
Anda perlu pandai memilih menu sarapan supaya tidak tersalah ambil kerana kesilapan menu tersebut boleh memberi kesan dalam hidup anda sepanjang hari.
Lapor sebuah portal online, terdapat 5 sarapan yang sebenarnya sesuai terutama bagi anda yang memang mahu mengurangkan berat badan:-
1. Telur
Telur antara makanan yang istimewa kerana mengandungi 16 gram protein dan nutrient. Memakan 20 gram protein dapat membantu mengawal tahap insulin iaitu hormon yang mengawal metabolisme lemak dalam tubuh. Demikian antara sebab telur berfaedah untuk mengurangkan berat badan.
Bahagian putih telur mengandungi protein albumin yang juga merupakan vitamin larut lemak manakala bahagian kuning telur merupakan makanan yang mengandungi zat yang berbagai dan seimbang.
Mengamalkan memakan telur adalah baik kerana banyak khasiatnya. Ia adalah makanan asli yang ideal dan diterima sebagai diet harian manusia di seluruh dunia.
2. Yogurt
Makanan ini juga mengandungi sejumlah nutrien untuk pencernaan yang baik dan membantu pembentukan tulang dan gigi. Bakteria baik (probiotik) iaitu lactobacillus dalam yogurt dapat mengatasi masalah cirit-birit, sembelit dan masalah kanser usus.
Kalsium dan protein yang tinggi dalam yogurt sangat baik untuk kesihatan. Jika anda suka yoghurt, pilihan terbaik untuk penurunan berat badan ialah Greek Yoghurt. Yogurt jenis ini tidak mengandungi gula dan dalam setiap bahagian terdapat 20 gram protein.
3. Sandwich
Roti dengan kepingan salmon, daging, dan kepingan keju adalah gabungan karbohidrat dan protein yang sempurna. Anda juga boleh menambah salad sebagai serat tambahan.
Sandwich juga adalah makanan ringan diet yang mengenyangkan. Cukup untuk mengambil beberapa keping sandwich, anda boleh bertahan hingga tengahari tanpa mengantuk.
4. Oatmeal
Oatmeal atau bahan makanan yang terbuat dari gandum ini sudah dipercaya sejak lama untuk proses diet kerana mengandungi banyak serat.
Proses pencernaannya lebih lambat bagi makanan ini boleh membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama.
Menu sarapan oatmeal biasanya berbentuk bijirin. Cara hidangan terbaik oatmeal adalah dicampur dengan susu rendah lemak dan ditambah potongan buah segar sesuai untuk selera.
5. Kurma
Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gula 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semula jadi.
Memakan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Selain itu juga, kurma adalah buah yang kaya kalsium dan zat besi. Nutrisi ini boleh membantu anda dapatkan tulang dan gigi yang sihat juga kuat.
Demikian adalah beberapa jenis makanan yang dapat dikongsikan sebagai langkah penjagaan kesihatan dan makanan baik untuk mengurangkan berat badan.
Anda juga dinasihatkan untuk mengelak daripada kerap memakan makanan yang agak berat di waktu pagi seperti nasi lemak, nasi goreng, jenis-jenis mi dan roti canai.
Makanan ini mampu membuat anda mudah merasa mengantuk, keletihan dan lesu sekali gus akan mengganggu aktiviti harian yang telah anda rancangkan.
Pepatah Inggeris pun ada menyebut iaitu “Anda adalah apa yang anda makan.” – MYNEWSHUB.CC/MIZE