KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh Badan Bukan Kerajaan (NGO) bergabung bagi menghantar tiga calonnya untuk bertanding dibawah tiket Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Gabungan NGO terbabit terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Malaysia, Pertubuhan Ibu-Ibu Tunggal dan Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Malaysia.
Turut membarisi gabungan NGO bagi menghadapi PRU14 itu adalah Pertubuhan Pencinta Air Terjun Malaysia, Eco Rangers Malaysia dan Pergerakan Pengakap Sedunia.
Lebih menarik, kawasan yang akan ditandingi NGO terbabit adalah Parlimen Ampang, Parlimen Segambut dan Parlimen Pandan.
Setiausaha Media Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Malaysia, Noor Izwan Abd. Malek berkata, calon bagi Parlimen Ampang ialah Pengerusi pertubuhannya, Sulaiman Kamarul Rafar Ismail, 46.
“Calon Parlimen Segambut ialah Pengerusi Pertubuhan Pencinta Air Terjun Malaysia, Anas Saiful Azhar, 36.
“Calon Parlimen Pandan pula Ahli Jawatankuasa kami, Ahmad Syahman B. Nordin, 36,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noor Izwan berkata, gabungan NGO yang bebas dari sebarang pengaruh dan ideologi politik itu mahu menjadi ejen perubahan kepada masyarakat dengan mengguna pakai pendekatan yang praktikal.
Kata beliau, penyertaan gabungan NGO itu dalam PRU14 bukan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, tetapi sebagai pemimpin masyarakat yang dibentuk menerusi gerakan NGO.
“Kami mengamalkan semangat persaudaraan yang erat dimana kami menjauhi sebarang sikap yang boleh mencetuskan permusuhan serta provokasi.
“Sebaliknya, kami mengutamakan semangat persahabatan dan kekeluargaan sepertimana yang diamalkan dalam Pengakap.
“Sekiranya menang, calon-calon kami tidak akan mengguna pakai gelaran Yang Berhormat (YB). Kami akan memperkenalkan diri sebagai ‘Brothers’ & ‘Sisters’,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
*Sekadar Video Hiasan..