SESIAPA yang ingin melakukan kejutan kepada insan tersayang, perancangan yang dilakukan pasti mengambil masa yang lama untuk memastikan acara yang telah dirangka berjalan dengan lancar.
Begitulah situasi yang dilalui pelawak dan penyanyi, Achey yang merancang kejutan besar-besaran buat hari lahir isterinya, Nor Hasanah Yahaya atau Anne yang menyaksikan Achey menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Audi TT.
Nekad mahu memastikan isterinya tidak tahu menahu akan kejutan yang bakal dilakukan, Achey bertindak tidak membenarkan isterinya untuk memeriksa telefon bimbitnya selama hampir sebulan.
“Selama hampir sebulan juga saya tak benarkan isteri pegang atau periksa telefon bimbit saya.
“Saya ada beritahulah sebab apa tak benarkan. Dia tahu yang saya ada nak buat kejutan hari jadi untuknya.
“Tapi dia tak tahu apa elemen-elemen kejutan yang saya rancangkan. Malah, tiada siapa pun tahu kecuali penaja-penaja pada majlis itu,” katanya dipetik portal mStar Online.
Pada Sabtu lalu, Achey membuat kejutan besar-besaran bagi menyambut ulang tahun ke-28 tahun buat isterinya itu.
Bertemakan pakaian sukan dan santai, majlis sambutan hari jadi itu diraikan meriah dengan kehadiran kenalan rapat antaranya Johan, Ozlynn, Fad dan Sharif Zero.
Untuk pengetahuan, Achey Atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah telah hidup bersama sebagai pasangan suami isteri sejak tujuh tahun yang lalu.
Jelas Achey dia menghadiahkan isterinya dengan kereta mewah berkenaan bagi menghargai usaha, kerja keras serta pengorbanan isterinya yang telah menguruskan kerjaya Achey sejak menceburi bidang seni lima tahun lalu.
“Saya hadiahkan kereta terpakai itu sebagai tanda penghargaan buat isteri yang selama ini menguruskan kerjaya saya selama lima tahun.
“Dia tidak pernah minta apa-apa daripada saya. Selama ini pun, saya sahaja yang minta. Jadi inilah hasil dari 2013 sampai 2018 dia menjaga saya.
“Lagipun, dia pernah kata kereta itu cantik tapi tak pernah pun minta untuk saya beli. Kiranya, ia satu kejutan istimewa untuknya,” ujarnya.
Melalui laman Instagram, Anne turut memberikan penghargaan kepada suaminya itu atas pemberian yang diterima selepas lapan tahun berkahwin.
Sementara tu, Achey turut meluahkan rasa syukurnya selepas single sulungnya, Yang Terindah menerima sambutan di luar jangkaan apabila kini telah mencecah 22 juta tontonan di YouTube.
Malah, lagu terbaharunya yang diberikan judul Makcik Bawang turut mendapat perhatian penonoton disebabkan liriknya yang lucu dan berbaur sindiran kepada ‘mak cik bawang’ di luar sana.
“Alhamdulillah, saya memang paling tak sangka single pertama dapat sambutan sebegitu.
“Bersyukur sangat ramai orang dapat terima lagu tersebut. Malah, lagu kedua juga dapat menarik perhatian pendengar,” jelasnya.
Setakat ini, lagu single kedua Achey itu mendapat hampir 650 ribu tontonan sejak dimuat naik pada 16 April yang lalu dan kini menduduki tempat ke-36 dalam carta Trending YouTube Malaysia. – MYNEWSHUB.CC/EZ