KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang meraih keputusan paling cemerlang dalam kariernya dengan menamatkan saingan di kedudukan kelima pada Grand Prix (GP) Argentina pada Ahad (awal pagi di Malaysia), masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya itu.
Pelumba Petronas Sprinta Racing Team berusia 19 tahun itu, berkata beliau sepatutnya boleh mencatat keputusan lebih baik dengan meraih kemenangan podium pertamanya selepas membuat kemunculan sulung dalam Moto3 pada musim 2016.
“Sejujurnya, sudah pasti saya amat gembira kerana ini pencapaian terbaik saya. Hujung minggu yang cemerlang, kami mantap secara keseluruhan, namun semalam sedikit rumit berikutan cuaca buruk bagi memilih tayar yang sesuai.
“Kami tidak rugi apa-apa, jadi kami hanya menggunakan tayar basah walaupun kami tahu berapa cepatnya (trek) akan kering. Saya sedikit kecewa kerana saya benar-benar mahu kemenangan podium kerana saya sangat mantap dan selesa dengan jentera ini.
“Permulaan baik, tetapi di pertengahan saya tidak mampu lagi (lebih laju) kerana sudah berada di kelajuan maksimum ketika mengekori pendahulu perlumbaan. Agak rumit, jadi saya hanya melakukan terbaik untuk menamatkan perlumbaan,” katanya menerusi klip audio yang disediakan kepada Bernama oleh pasukannya.
Memulakan perlumbaan di grid keempat, Adam menamatkan perlumbaan sejauh 100.926km itu dengan catatan 41 minit dan 52.934 saat, iaitu 9.112s saat di belakang juara Marco Bezzecchi dari Itali yang mewakili pasukan Redox Pruestel GP (41:43.822s).
Pelumba dari Sepanyol, Aron Canet daripada pasukan Estrella Galicia 0,0 (41:48.511s) dan pelumba Itali Fabio Di Giannantonio mewakili pasukan Del Conca Gresini Moto3 (41:48.785s), masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Hasil pencapaian di tempat kelima itu, Adam yang menunggang jentera Honda, kini menduduki tempat kelapan dalam Kejuaraan Dunia dengan mengumpul 16 mata, selepas mengutip lima mata pada perlumbaan pembukaan musim di Qatar pada 18 Mac lepas.
Sementara itu pelumba Moto2 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin berharap jenteranya bertambah baik di GP Amerika Syarikat pada 22 April ini, selepas hanya menamatkan saingan pada kedudukan ke-26 daripada 32 pelumba.
“Saya agak gembira di awal perlumbaan kerana berjaya memintas beberapa pelumba dalam pusingan awal. Kemudian saya cuba kekal dalam kelompok 20 pelumba teratas, tetapi gagal menyaingi mereka.
“Secara jujur, prestasi saya semakin baik dari hari ke hari, tetapi jurang agak besar dengan pelumba di kedudukan teratas. Saya berharap kami dapat mencari penyelesaian terbaik untuk perlumbaan akan datang agar dapat berada di hadapan,” kata pelumba SIC Racing Team itu. – BERNAMA