SHAH ALAM – “Kalau adik nak balik, adik kena kuat, kalau adik macam ni macam mana adik nak balik.” Itu kata-kata yang sering dititipkan di telinga Nor Raisha Eryna Muhammad Faiz, bayi tiga bulan yang memerlukan alat bantuan pernafasan dan tabung oksigen.
Anak sulung pasangan Muhammad Faiz Sarawadi, 24, dan Nor Roshada Elyka Roslan, 22, dilahirkan semasa usia kandungan enam bulan lebih dengan berat 1.5 kilogram.
Ibu, Nor Roshada Elyka berkata, setiap kali menjalani pemeriksaan kandungan sebelum ini, keputusannya sentiasa memuaskan.
“Semuanya elok tekanan darah tinggi normal, tidak ada kencing manis dan pergerakan bayi juga aktif.
“Keadaannya bayi dan tahap kesihatan saya baik sehingga saya mengalami sakit di bahagian pinggang,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun usia kandungan baharu mencecah enam bulan, Raisha dilahirkan secara normal.
“Disebabkan Raisha adalah bayi pramatang dia diletakkan di dalam inkubator dan memerlukan pemantauan yang rapi.
“Raisha terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana paru-parunya dijangkiti kuman. Selepas keluar ICU, pernafasannya berbunyi dan apabila dia tarik nafas nampak ada lekuk yang dalam di bahagian tulang rusuk,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faiz yang bekerja sebagai tukang gunting rambut memberitahu, pihak hospital terpaksa memasukkan skop ke saluran pernafasannya dan ternampak lebihan tisu yang lembut menghalang saluran pernafasan.
“Bila Raisha tarik nafas, lebihan tisu akan menutup saluran pernafasan dan berbunyi itu yang menyebabkan Raisha terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan tabung oksigen bagi membuka saluran pernafasannya. Raisha memerlukan alat bantuan pernafasan dan tabung oksigen dan pihak hospital mengatakan harganya yang paling murah sekitar RM7,000 ke RM8,000.
“Dia boleh menyedut oksigen tetapi tidak boleh mengeluarkan gas karbon dioksida jadi gas karbon dioksida akan terperangkap di otak dan perkembangannya tak macam orang lain,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB 12310097738528 atau hubungi Muhammad Faiz di talian, 012-4438344. – SINAR HARIAN
*Video sekadar hiasan…