KUALA LUMPUR – Ahli politik menghadapi misi di “medan tempur” untuk meyakinkan anak-anak muda dengan janji realistik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata seorang ahli akademik.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Adnan Hussein berkata kajian mendapati ada 20 hingga 30 peratus pengundi atas pagar, kebanyakan mereka ialah anak muda yang masih belum memutuskan pilihan mereka.
Beliau berkata kira-kira 10 juta orang berada dalam golongan umur antara 21 hingga 49 tahun dan daripada jumlah tersebut, antara lima hingga enam juta ini belum membuat pilihan.
“Ini merupakan jumlah yang besar dan ia juga adalah cabaran kepada media dan parti politik untuk menyasar kumpulan ini kerana mereka adalah golongan yang paling kurang menggunakan media tradisional (akhbar dan televisyen), katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas forum media dan komunikasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia, di sini hari ini.
Memetik kajian oleh pertubuhan bukan kerajaan, Organisation for National Empowerment (ONE) yang fokus kepada anak muda, Dr Adnan berkata isu utama yang diutarakan adalah berkaitan soal masa depan termasuk peluang pekerjaaan dan pembangunan.
“Anak-anak muda adalah idealis dan mereka tidak suka janji-janji retorik. Mereka lebih mementingkan masa depan negara. Mereka tidak suka soal kutuk-mengutuk dan menginginkan keberhasilan sesuatu dasar,” kata beliau.
Justeru, Dr Adnan berkata adalah penting bagi parti-parti politik untuk memanfaatkan pemikiran ini dan Barisan Nasional (BN) tampil dengan melancarkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berhasdrat untuk mendengar suara anak muda sementara pembangkang juga menganjurkan aktiviti untuk mendekati golongan muda.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sastera, Komunikasi dan Pendidikan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Prof Dr Faridah Ibrahim berkata adalah penting memastikan komunikasi yang jelas dengan fakta yang benar bagi menarik perhatian pengundi.
Beliau berkata ketepatan dan kepantasan maklumat adalah antara cabaran dalam penyebaran berita dan maklumat pada PRU-14 nanti kerana masyarakat kini adalah golongan celik teknologi maklumat.
Katanya, antara isu yang menjadi perhatian pada PRU-14 ini adalah salah laku pengurusan dana, rasuah, pengangguran, kos sara hidup yang tinggi dan isu perumahan. – BERNAMA