GEORGE TOWN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini.
Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan tiba di IPK berkenaan, yang juga lawatan terakhir ke IPK seluruh negara, kira-kira 9.15 pagi.
Beliau kemudian memeriksa perbarisan kawalan kehormatan sebelum menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis Kontinjen Pulau Pinang.
Seterusnya Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu melawat bilik gerakan pilihan raya umum (PRU) kontinjen itu dan menghadiri taklimat PRU yang diadakan secara tertutup di bilik mesyuarat utama IPK tersebut.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). – BERNAMA