SEDAR usianya yang masih remaja, penyanyi, Aiman Tino bagaimanapun mengaku bersedia menggalas tugas besar sebagai pengarah urusan syarikatnya, Manno Resources Sdn. Bhd. yang telah pun ditubuhkan sejak hujung tahun lalu.
Jelas penyanyi berusia 19 tahun itu, dia tidak melihat usia sebagai satu halangan buatnya mengendalikan syarikat berkenaan memandangkan dia akan turut menerima bantuan daripada kedua ibu bapanya.
Malah, syarikat itu turut memiliki seramai 50 orang kaki tangan yang mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan dan akan membantunya dalam urusan pentadbiran syarikat tersebut.
“Saya tahu usia saya masih muda tetapi itu bukanlah penghalang untuk saya menggalas tanggungjawab tersebut kerana saya sentiasa ada keluarga terutama ibu bapa yang sentiasa ada dibelakang saya.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk saya dan saya sudah bersedia untuk membina nama Manno Resources Sdn. Bhd. ke tahap lebih tinggi,” katanya memetik laporan mStar Online.
Buat permulaan, syarikat berkenaan telah mengeluarkan Jus Manno dan Jus Manno Junior yang berasaskan ramuan semula jadi, pada awal Februari lalu.
Melalui syarikatnya itu, Aiman merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk dari Manno Resources Sdn. Bhd. yang akan meliputi barangan fesyen, kecantikan, aksesori dan sebagainya.
Bagaimanapun buat masa ini, syarikat itu akan memberikan tumpuan kepada produk kesihatan dahulu selain misi utama mereka menaikkan nama Manno Resources Sdn. Bhd. supaya dikenali ramai.
“Buat tahun pertama ini keuntungan itu sudah jatuh nombor dua kerana paling penting sekarang kita perlu menguatkan nama syarikat serta produk Jus Manno dan Jus Manno Junior terlebih dahulu.
Aiman turut menambah bahawa perancangan bagi strategi pemasaran telah pun diatur dan syarikat iru akan berusaha melaksanakannya dengan berkesan.
Dalam pada itu, Aiman mendedahkan bahawa syarikatnya itu ingin memberi semula kepada masyarakat terutama kepada golongan yang memerlukan apabila RM1 daripada setiap hasil produk yang dijual akan diberikan kepada mereka.
“Saya bukan hendak kaya tetapi menjadi hasrat saya untuk beramal dengan memberi balik kepada golongan memerlukan.
“Saya yakin dengan sedikit bantuan diberikan Insya-Allah, rezeki kita akan digandakan oleh Allah.
“Alhamdulillah setakat ini dapat juga membantu beberapa pertubuhan yang memerlukan dan ini akan menjadi usaha berterusan daripada pihak Manno Resources Sdn. Bhd.,” ujarnya.
Aiman ditemui pihak media ketika Majlis Pelancaran Jus Manno & Manno Junior di Quill City Mall, Kuala Lumpur, pada Ahad.
Biar pun mengakui akan sibuk dengan perniagaan baharunya ini, peminat setia penyanyi lagu Ku Sesat Dalam Rindu ini tidak perlu khuatir kerana Aiman masih akan terus menyanyi.
Jelas Aiman, dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia seni dan akan memastikan keseimbangan kedua bidang tersebut dapat diatur dengan baik. – MYNEWSHUB.CC/EZ