SEPERTI yang dilaporkan sebelum ini, penyanyi, Aiman Tino bakal membuat penampilan sulungnya dalam dunia lakonan menerusi drama bersiri popular, Mak Cun 4, sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi menjiwai watak
Bagi menjayakan watak bernama Kumin dalam drama bersiri berkenaan, Aiman merelakan dirinya ditampar berkali-kali bagi menghidupkan watak dan mendapatkan emosi yang tepat untuk babak yang dilakonkan.
Pendekatan yang digunakan oleh pelakon senior, Fazlina Ahmad Daud bagi membantu Aiman menjiwai babak di dalam drama berkenaan sememangnya mengejutkan Aiman membuatnya sedar bahawa menjadi pelakon sememangnya tidak mudah.
Jelasnya, melakonkan babak sedih dan marah serentak agak mencabar buat dirinya sehingga membuatkan dia meminta pertolongan pelakon dan penerbit, Erma Fatima untuk membantunya menjiwai babak tersebut.
“Kebetulan Fazlina yang saya panggil Kak Baby ada bersama dan dia membawa saya ke satu sudut. Dia meminta saya mengenang semula perkara sedih dalam hidup. Tiba-tiba, dia menampar saya.
“Tindakannya itu membuatkan saya terkejut, namun, sebaik selesai penggambaran babak itu dia terus memeluk saya dan memohon maaf.
“Saya faham dan tidak marah kerana dia hanya membantu menghayati watak. Sampai patah gitar yang dijadikan prop gara-gara menjiwai watak,” katanya memetik Harian Metro Online.
Tambah Aiman, dia kagum dengan bakat yang dimiliki pelakon-pelakon hebat tanah air selepas mula merasai terlibat dengan dunia lakonan menerusi drama Mak Cun 4 ini.
Aiman juga mengakui bahawa berlakon memerlukan tahap kesabaran yang tinggi memandangkan tempoh penggambaran yang memakan masa agak lama..
“Bukan mudah bermain emosi. Tanpa pengalaman dan tunjuk ajar seseorang, pelakon itu tidak akan mampu memberikan persembahan yang hebat dalam lakonan.
“Saya beruntung mendapat bantuan daripada pelakon berbakat besar. Kalau saya seorang, pasti tidak mampu menyampaikan emosi seperti yang dikehendaki pengarah dan skrip,” jelasnya.
Aiman juga mendedahkan bahawa dia tidak sangka gurauan ibunya, Hazelina Mat Jalil yang mencadangkan kepada Erma supaya mengambilnya berlakon dalam drama bersiri itu menjadi kenyataan.
Jelas pelantun lagu Ku Sesat Dalam Rindu itu, setelah menerima tawaran berlakon dalam drama siri kekeluargaan kegemaran ramai itu, dia terus bersetuju untuk terlibat.
“Memang sudah lama saya teringin berlakon. Ketika Erma mencari pelakon untuk watak Kumin, ibu bergurau dengan menyarankan nama saya.
“Terima kasih kepada Kak Erma kerana sudi beri peluang. Ingatkan saya hanya bawa watak kecil tetapi apabila baca skrip banyak pula babak membabitkan saya,” ujarnya. –MYNEWSHUB.CC/EZ