PENYANYI baru meningkat naik, Aiman Tino mengakui tidak serik untuk terus menimba ilmu dan mengorak langkah dalam bidang lakonan.
Walaupun kemunculannya dalam drama bersiri berjudul Mak Cun musim keempat telah menimbulkan isu, namun bagi Aiman ia hanya perkara kecil dan tidak ada apa yang perlu diserikkan.
“Buat apa saya nak rasa serik. Setakat ‘ditampar’ untuk belajar mendapatkan emosi dalam lakonan, apalah sangat. Malah, saya termasuk ibu bapa dan keluarga boleh terima perkara itu dengan positif.
“Biasalah, saya minat nak berlakon, tetapi tiada pengalaman. Jadi, apa yang dilakukan kak Fazlina (Fazlina Ahmad Daud) itu sekadar mahu mengajar,” kata Aiman dipetik Harian Metro, hari ini.
Dalam pada itu Aiman berkata, dia sedia dan tidak akan menolak sekiranya diberi peluang untuk berlakon lagi dengan Fazlina pada masa akan datang.
Jelas Aiman, bekerja dengan pelakon berkaliber seperti itu merupakan satu peluang yang baik.
“Kalaulah ada peluang untuk kami berlakon bersama lagi, saya OK dan sedia menerimanya. Apa yang saya inginkan ilmu lakonan,” jelas Aiman yang mengakui bukan senang untuk menjadi seorang pelakon.
Justeru, Aiman mengharapkan agar isu ‘ditampar’ itu dapat dihentikan dan tidak berpanjangan lagi.
“Kalau saya boleh tak peduli mengenai perkara itu (ditampar), harapnya orang lain yang tidak tahu kejadian sebenar jangan pula lebih-lebih.
“Kepada peminat saya, terima kasih kerana tidak jemu dan terus memberi sokongan. Jangan lupa dengar single baru saya, Ku Sesat Dalam Rindu,” katanya.
BACA : Aiman Sanggup Ditampar Ulang Kali Demi Watak
Sebelum ini, demi mendalami watak Kumin dalam drama bersiri berkenaan, Aiman didakwa sanggup ditampar berulang kali bagi mendapatkan emosi watak tersebut.
Difahamkan, insiden tersebut telah menimbulkan kemarahan segelintir peminat tegar penyanyi berusia 20 tahun itu. – MYNEWSHUB.CC/AM