KUALA LUMPUR – Sebuah tapak projek laluan MRT di Kepong di sini dikesan melakukan sambungan haram bekalan air terawat yang menyebabkan kerugian lebih RM257,000 kepada pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang ramai akan perbuatan itu sejak dua minggu lalu.
“Siasatan mendapati terdapat dua sambungan bekalan air secara haram daripada paip utama Air Selangor yang terletak berhampiran lokasi tapak pembinaan.
“Paip itu menyalurkan bekalan air ke tapak pembinaan bagi tujuan kegunaan kerja-kerja pembinaan dan aktiviti harian pekerja,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Air Selangor yang menjalankan serbuan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) terhadap kontraktor binaan itu selain memotong sambungan haram yang dilakukan.
“Notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan telahpun dikeluarkan bersama SPAN dan Air Selangor,” kata Eksekutif Kanan Komunikasi dan hal Ehwal Pengguna SPAN, Loh Pit Mui.
Menurut Loh, SPAN juga telah menerima aduan 16 kes penyambungan bekalan air tidak sah dari 1 Jan sehingga kini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
SPAN memohon kerjasama orang awam supaya melaporkan sebarang kes kecurian air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian 03-8317 9333 atau e-mel ke [email protected] – BERNAMA