ELEANORE Ajami merupakan pereka fesyen terkenal Lubnan namun dia kini dipalit kontroversi selepas seorang gadis, yang mendakwa pembantu rumah Eleanore telah terjun dari tingkat dua rumah mereka kerana tidak tahan dengan penderaan.
Gadis yang dikenali sebagai Lensa Lesina, 20, mengalami patah kedua-dua kakinya dalam cubaan melarikan diri itu
Kejadian itu berlaku pada 11 Mac lalu namun kes ini menjadi semakin besar apabila Lensa memuat naik video yang menceritakan mengenai penderaannya itu.
Menurut Lensa, yang tiba di Beirut dari Habsyah pada Julai tahun lepas, bekerja untuk Eleanore dan tiga anaknya yang sudah dewasa iaitu Alexis, Crystel dan Joe Khalil.
Eleanore mempunyai jenama sendiri Eleanore Couture dengan pelanggannya terdiri daripada selebriti antarabangsa termasuk Roselyn Sánchez dan Lana Condor, penyanyi Carrie Underwood serta Madison Beer dan model Jennifer Berg serta Becky Branca.
“Mereka akan memukul saya dengan kabel elektrik, mengheret saya dengan menarik rambut ke seluruh bilik dan menghentukkan kepala saya pada dinding.
“Setiap jam ada sahaja penderaan yang dilakukan dan saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri saya,’’ katanya.
Lensa mendakwa Joe Khalil sering mencucuk jarinya ke mata dan dengan adiknya, Crystel, mereka akan sama-sama menyerangnya dengan gunting.
Selepas Joe Khalil mengugut untuk mencederakannya jika dia gagal menjahit, Lensa merasakan apa yang dialaminya itu perlu diakhirnya.
Apabila Joe Khalil keluar bersukan, dia mengambil kesempatan untuk melarikan diri bersama seorang lagi pembantu rumah senegeranya. Malangnya Lensa patah kaki menyebabkan pembantu rumah itu meninggalkannya.
“Saya mengalami penderaan namun tiada yang melihat dan membantu saya. Jika kami menceritakan mengenai masalah kami, maka kami akan kena lebih teruk lagi,’’ kata Lensa.
Dia merupakan salah seorang daripada 100,000 pembantu rumah warga Habsyah yang bekerja sebagai pembantu rumah di Lubnan.
Susulan dakwaan ini, keluarga Eleanore telah memadamkan semua akaun sosial mereka termasuk akaun Eleanore Couture.
Kes itu pada mulanya telah ditutup kerana Lensa mendakwa dia patah kaki kerana terjatuh namun kini ia terpaksa dibuka semula apatah selepas mendapat desakan daripada aktivis. – MYNEWSHUB.CC