MASALAH homoseksual dan pedofilia bukan lagi menjadi satu isu yang yang jarang didengari berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.
Malah, terlalu banyak cerita dan laporan mengenai perbuatan terkutuk ini menghiasi dada akhbar-akhbar tempatan.
Terbaharu isu melibatkan homoseksual dan pedofilia sekali lagi membuka mata ramai pihak apabila tersebarnya beberapa paparan skrin perbualan beberapa ahli Group Anak Ikan di Facebook yang sepatutnya membimbangkan ibu bapa di luar sana.
Menerusi gambar yang tular itu, seorang pengguna laman sosial tersebut yang menggunakan nama Hakimi Captainzr Hafizi membuat perkongsian dalam group berkenaan mendakwa dirinya mahu ‘menuai’ seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
“Dapat emergency call dari budak ini. Minta balik Kuantan cepat. Mungkin dia yakin dah boleh dituai kot. Yeahhh, tunggu abang,” tulisnya.
Lebih mengerikan, ahli-ahli lain dalam group tersebut tampil meninggalkan komen mendedahkan mereka juga mempunyai anak ikan berusia 14 tahun dan seringkali melakukan seks songsang.
Malah mereka turut bangga berkongsi gambar ‘anak ikan’ mereka yang jelas masih di bawah umur untuk tatapan ahli group yang lain biarpun ada yang menegur tindakan mereka.
Semakan di laman Facebook mendapati, Hakimi Captainzr Hafizi telah menyahaktifkan akaunnya di laman sosial berkenaan.
Netizen kini telah beralih arah kepada salah seorang lagi pengguna Facebook yang meninggalkan komen pada entri Hakimi yang dikenali sebagai Amirul Hafifi.
Tinjauan ke laman Facebook Amirul Hafifi mendapati suatu perkara yang semamngnya mengkhuatirkan sesiapa yang melihatnya
Ternyata individu tersebut langsung tidak cuba menyembunyikan kecenderungan seksualnya dan sekiranya dilihat daripada senarai rakan Facebooknya, rata-rata merupakan anak-anak kecil lelaki di bawah umur.
Perkara ini jelas menunjukkan sisi buruk media sosial zaman ini apabila sebuah laman sosial seperti Facebook digunakan untuk mendapatkan mangsa-mangsa aktiviti terkutuk pedofilia.
Tinjauan ke Group Anak Ikan pula menunjukkan masalah sosial yang jelas melanda rakyat Malaysia sekarang ini terutama melibatkan aktiviti homoseksual.
Lebih menyedihkan, rata-rata di antara mereka merupakan bangsa Melayu beragama Islam yang dengan terbuka berbual mengenai perkara-perkara homoseksual yang sememangnya ditegah.
Ekoran tularnya gambar-gambar paparan skrin itu, pengendali laman Komuniti Harmoni Kita mengambil inisiatif membuat satu laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pengendali dan ahli-ahli group jelik berkenaan.
Pengendali laman itu juga menggesa pihak berkuasa untuk sentiasa peka dengan aktiviti seperti itu di media sosial dan memastikan aktiviti jenayah pedofilia sentiasa dipantau.
Selain itu, mereka juga meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap pengendali group Facebook berkenaan.
Dalam pada itu, pensyarah daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai aktiviti homoseksual dan pedofilia untuk tampil bersuara.
Jelasnya, aktiviti yang menjadikan anak-anak kecil sebagai sasaran ini sepatutnya dibendung dan dicegah bermula dari rumah dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menghindar perbuatan jijik ini.
“Semua ibubapa harus cakna, dan memulakan pendidikan tentang gejala liwat kepada anak-anak.
“Pendidikan seksual bermula di rumah, dan bagi ibubapa Muslim, kenalkan pada anak anak apa yang halal, dan apa yang haram dalam Islam,” tulisnya di laman Facebook.
Malah, Dr. Rafidah juga mendedahkan bahawa beberapa minggu lalu dia mendapat khabar berita bahawa seorang budak lelaki bawah umur dijangkiti penyakit HIV positif selepas terlibat dengan gejala itu.
“Dua minggu lepas, seorang doktor pakar perubatan keluarga menyampaikan kepada saya sudah ada kes budak lelaki berumur 12 tahun yang HIV positif. Perangi paedofilia, budaya liwat dan hubungan sejenis,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ