SANDAKAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ditugaskan di dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) mempunyai fungsi dalam gerak saraf dan perang saraf bagi memastikan minda rakyat tidak terpengaruh dengan anasir luar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Katanya peranan ini terus berkesinambungan dengan tanggungjawab melatih rakyat dengan kemahiran kendiri, kelangsungan hidup dan mengatasi situasi kecemasan setempat.
Justeru, katanya, APM juga harus bertindak sebagai entiti pencegahan dan berjaga-jaga dengan membuat profil data komuniti, memberi amaran dan menyalurkan maklumat kepada orang awam, pihak berkuasa keselamatan dan kerajaan.
APM juga melaksanakan rutin khidmat bantuan kecemasan dalam sesuatu insiden, membantu agensi keselamatan dalam penguatkuasaan undang-undang dan bersama-sama agensi lain bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan ancaman atau ganggu gugat keselamatan awam, katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Penugasan APM di Esszone di sini, malam tadi.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Azmy Yahya.
Sehubungan itu, Shahidan berkata apabila kerajaan telah meletakkan kepercayaan dan mandat untuk APM terlibat dalam penugasan bersama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ini, tiadalah harapan lain agar warga APM Sabah yang terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya, ikhlas dan berkesan.
Katanya kunci utama dalam tanggungjawab ini adalah disiplin diri untuk mematuhi arahan dan Perintah Tetap Operasi yang digariskan untuk penugasan ini.
Beliau berkata khidmat APM bukanlah baru sekarang ini digunakan malah sejak penubuhan Esscom pada 2013, APM terlibat dalam pelbagai operasi Esscom khususnya di kawasan daerah ini.
Shahidan berkata penugasan APM ini dilihat sebagai keseriusan kerajaan dan APM sendiri untuk memastikan rakyat Sabah yang mengganggotai APM mempunyai khidmat bakti yang boleh disumbangkan untuk kepentingan keselamatan negeri ini. – BERNAMA