LAHAD DATU – Usaha lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina menyusup keluar dan membawa barang kawalan dipercayai ke sempadan Filipina berjaya dihalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Lahad Datu, awal pagi tadi di perairan Kampung Tanduo dekat sini.
Pengarah Maritim Pangkalan Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender Raphael berkata bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar perairan Felda Sahabat menerima maklumat daripada kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sri Perlis pada pukul 12 tengah malam mengenai bot pancung mencurigakan.
“Bertindak atas maklumat itu, bot APMM mengesan dan memintas bot pancung terbabit kira-kira pukul 1 pagi di kedudukan lebih kurang 7.5 batu nautika selatan Kampung Tanduo.
“Hasil pemeriksaan awal, bot tersebut tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan di atasnya terdapat enam lelaki dewasa dan dua wanita berumur antara 20 hingga 60 tahun, selain menemukan 49 gelen minyak petrol (20 liter setiap satu gelen), 13 tong gas memasak, 25 plastik minyak masak serta 10 plastik tepung gandum,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Radzil berkata kesemua ditahan dan barang rampasan dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, APMM komited menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang Malaysia di perairan Lahad Datu.
Radzil meminta orang awam dapat menyalurkan maklumat atau menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi APMM Lahad Datu atau MERS999 untuk sebarang kejadian kecemasan. – BERNAMA