KUALA LUMPUR – Malaysia memiliki potensi beraksi di Piala Dunia buat kali pertama dan perjalanan itu bermula Sabtu ini apabila skuad ragbi 15 sepasukan kebangsaan memulakan kempen Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Kejuaraan itu melibatkan tiga negara iaitu pasukan di ranking ke-22 dunia, Hong Kong dan Korea Selatan di kedudukan ke-31.
Menurut ketua jurulatih negara, Lee Nyuk Fah, kedua-dua negara itu menjadi penghalang pertama skuad negara untuk menempah slot dan mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2019 di Jepun.
Selepas mengetepikan cabaran pasukan di ranking ke-42 dunia, Sri Lanka untuk mempertahankan gelaran juara ARC Divisyen 1 pada Mei 2017, skuad negara yang kini menghuni kedudukan terbaik iaitu ke-45 dunia tidak lagi mahu menoleh ke belakang.
“Kejuaraan ini adalah sesuatu yang baharu bagi skuad negara selepas hanya bersaing pada divisyen satu dan dua sebelum ini. Ia merupakan satu sejarah namun saingannya lebih mencabar kerana kita akan berdepan Hong Kong dan Korea Selatan yang saya anggap jauh lebih bagus daripada kita.
“Tidak seperti berdepan Sri Lanka, dua negara ini berada pada satu tahap yang lebih tinggi. Mereka mempunyai barisan pemain profesional yang beraksi di liga pro Jepun. Korea Selatan sahaja ada 12 pemain profesional dan itu sudah pasti memberikan satu saingan sengit kepada pasukan negara,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya, persiapan rapi giat dilakukan sejak tujuh bulan lalu termasuk ‘berkampung’ di negara kuasa besar ragbi, New Zealand selama dua minggu, pada Oktober tahun lepas selain turut mendapatkan khidmat pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) berkaitan sains sukan bagi memantapkan serta menyediakan pasukan dari segenap aspek.
Meskipun bakal beraksi tanpa tonggak utama, K.Dineshwaran, yang mempunyai pengalaman luas sebagai pemain profesional beraksi bersama kelab ternama Jepun, Yamaha Jubilo, akibat kecederaan, Nyuk Fah tetap optimis senarai 23 pemain dipilih adalah yang terbaik.
“Persiapan pasukan merangkumi semua aspek…dari segi teknikal dan taktikal sehingga ke pemakanan pemain. Kita juga bertuah dapat timba pengalaman berharga sewaktu menjalani latihan di New Zealand. Selain itu, kita turut membuat beberapa siri jelajah perlawanan antarabangsa.
“Bagaimanapun, kerisauan itu tetap ada terutamanya selepas kita kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan seperti Dugro, Johny (Jone Marawa Nasalo) dan Eto (Etonia Vaqa Saukuru) tetapi para pemain sudah bersedia dan berazam memberikan persembahan terbaik untuk terus mencipta sejarah,” katanya.
Skuad negara akan berdepan Korea Selatan pada aksi Sabtu ini serta melayani Hong Kong pada 5 Mei sebelum menamatkan baki dua lagi perlawanan berdepan lawan sama di Korea Selatan (19 Mei) dan Hong Kong (26 Mei).
Sekiranya muncul juara, skuad negara akan bersainga pada pusingan kalah mati zon Asia/Ocenia dan jika berjaya melepasi pusingan itu, Malaysia akan merebut slot ke Piala Dunia 2019 pada pusingan ‘repechage’ dunia yang merupakan halangan terakhir untuk merealisasikan impian ke Jepun. – BERNAMA